
Kejayaan pasukan Harimau Malaya membawa pulang Piala AFF Suzuki masih lagi diraikan. Kali ini, Pos Malaysia mengambil kesempatan untuk turut sama memberI penghormatan kepada wira bolasepak negara melalui koleksi setem terbarunya.
Setem kenang-kenangan dan sampul surat hari pertama ini dikeluarkan khas bagi mengabadikan kejayaan pasukan Malaysia dalam memenangi Piala AFF Suzuki 2010.
Malaysia muncul juara setelah menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 dalam perlawanan akhir dua pusingan Disember lalu.
Kejayaan ini adalah antara yang paling bersejarah dan diingati oleh rakyat Malaysia amnya kerana piala tersebut dibawa pulang selepas 14 tahun. Piala tersebut yang dahulu dikenali sebagai Piala Tiger hampir berjaya dimiliki pada 1996, namun Malaysia tewas kepada Thailand 0-1 dalam perlawanan akhir.
“Kejayaan ini menjadi satu sejarah bagi rakyat Malaysia, dan adalah tepat sekali untuk mengabadikannya dalam cara yang istimewa sebagai satu pengharaan kepada pasukan kebangsaan atas kejayaan tersebut.
“Pos Malaysia telah menghasilkan koleksi setem istimewa ini dengan tema ‘Juara Piala AFF Suzuki 2010’. Ini merupakan kali pertama Pos Malaysia bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia dalam menghasilkan bahan filateli, seta kali pertama tema bolasepak dipilih sebagai tema setem kami,” kata Pengarah Urusan Kumpulan/ Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Dato’ Syed Faisal Albar.
“Kami berharap usaha ini bakal menyemarakkan semangat dan motivasi pemain kebangsaan untuk terus menjuaraai kejohanan-kejohanan lain pada masa hadapan,” tambah beliau.
“Pos Malaysia berharap semua pengumpul setem, peminat bolasepak dan rakyat Malaysia umumnya dapat mengambil peluang ini untuk memiliki koleksi terhad ini kerana ia bukan sahaja mencatatkan sejarah penting dalam kejuaraan pasukan kebangsaan, namun kami juga ingin meniupkan perasaan bangga dan semangat patriotism di kalangan rakyat Malaysia dengan menyokong sukan bolasepak tempatan,” kaya Dato’ Syed Faisal lagi.
Sempena memperingati kemenangan Malaysia, dua reka bentuk setem yang unik telah dikeluarkan dalam denominasi 60sen setiap satu. Reka bentuk pertama memaparkan trofi AFF Suzuki 2010 di atas helaian setem berbentuk bolasepak.
Satu lagi reka bentuk pula memaparkan pingat AFF Suzuki 2010 di atas helaian setem berbentu segiempat padang bolasepak.
Pengumpul setem digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli SODA (Standing Order Deposit Account) untuk mendapatkan setem-setem dan produk filateli lain yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tanpa perlu beratur di pejabat pos semasa hari keluaran.
Selain itu, pelanggan juga dapat menikmati lebih kemudahan online menerusi Online Philately di www.posonline.com.my untuk membuka akaun SODA, menambah nilai, memeriksa baki akaun SODA serta mengemaskinikan butir-butir peribadi mereka.
Pos Malaysia mengadakan Majlis Prebiu Setem koleksi terbarunya di ibu Pejabat Pos Malaysia di Kompleks Dayabumi di Kuala Lumpur, Khamis.
Tiga pemain pasukan yang memenangi Piala AFF Suzuki, Mohamad Muslim Ahmad, Mohamad Fadhli Shas dan K. Gurusamy turut hadir pada majlis tersebut.


