Articles

PKNS terus dipersada

PKNS Selangor terus melebarkan pungutan mata di persada Liga Perdana apabila menewaskan pasukan USM FC 4-0 pada perlawanan bola sepak liga itu di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Isnin.

Kemenengan itu mengukuhkan kedudukan PKNS dengan 39 mata, tujuh di hadapan Sarawak. Kelab itu juga mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 15 perlawanan setakat ini.

PKNS memperolehi dua gol menerusi Zambri Hassan pada minit ke-45 dan 55 dan satu jaringan masing-masing dijaringkan oleh Mohd Irme Mat (min-28) dan Mohd Azrif Nasruhaq pada minit ke-49.


Sementara di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kemenangan tipis 2-1 pada pertemuan menentang SDM Navy.

Di Stadium Negeri , Kuching pula jaringan tunggal Bobby Gonzales pada minit ke-26 membolehkan pasukan tuan rumah menang tipis 1-0 terhadap Pos Malaysia.

Kemenangan itu membolehkan Sarawak terus berada di kedudukan kedua carta liga dengan kutipan 32 mata selepas 15 perlawanan.

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, pasukan pelawat, Majlis Perbandaran (MP) Muar membelasah pasukan tercorot liga, Pulau Pinang dengan keputusan 4-1.

Jaringan hatrik oleh Mohd Fitri Omar menerusi sepakan penalti pada minit ke-52, minit ke-69 dan 73 serta S. Harithas pada minit ke-86 membolehkan pasukan MP Muar mengumpul 21 mata di tangga kelapan.

Gol saguhati Pulau Pinang dihasilkan oleh R. Puganeswaran pada minit ke-33.

Di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Johor Bharu, Johor gagal menggunakan peluang terbaiknya beraksi di tempat sendiri apabila sekadar terikat seri 2-2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dua gol tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Fazuan Abdullah pada minit ke-16 dan Mohd Zain Omar (min-52) sementara gol PDRM masing-masing dijaringkan oleh Adib Azzuddin Latif (min-20) dan Norizan Salaman pada minit ke-67.