PKNS FC mengesahkan kedudukannya sebagai pasukan terbaik dalam Liga Premier setelah berjaya menewaskan Harimau Muda B 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ di Kelana Jaya, Jumaat (1/07/11).
Ini merupakan kemenangan kali ke 18 bagi PKNS FC yang menamatkan musim ini dengan mengutip 57 mata untuk menjuarai Liga Premier 2011. Sarawak muncul naib johan dengan 48 mata manakala di tempat ketiga ialah PDRM.
PKNS mendahului 1-0 menerusi jaringan Mohd Azrif Nasrulhag Badrul pada minit ke-58 dan gol kedua hasil jaringan Mohammad Zamri Hassan pada minit ke-69. Gol saguhati Harimau Muda B disumbangkan oleh Mohd Syafiq Shalihin Mohd Noor pada minit ke-77.
Sementara dalam perlawanan-perlawanan lain, PDRM menewaskan Sime Darby 1-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka. Gol PDRM dijaringkan oleh Mohd Fauzi Abdul Majid pada minit ke-84.
Pasukan USM FC pula mengalahkan Pos Malaysia 3-1 di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang.
Mohd Failee Mohamad Ghazali membuat hatrik apabila berjaya menjaringkan gol pada minit pertama, minit ke-73 dan minit ke-80.
Gol saguhati pasukan pelawat disumbangkan oleh Mohd Hanifuddin pada minit ke-35.
Pasukan Sarawak pula menang tipis 1-0 ke atas pasukan ATM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor.
Di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Johor Bharu, pasukan tuan rumah mencatat kemenangan bergaya apabila menewaskan Pulau Pinang 4-0, manakala SDM Navy menang tipis 4-3 ke atas MP Muar.
Sementara itu, dalam satu perlawanan Liga Super, Harimau Muda A menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Shah Alam.
Harimau Muda A membuka jaringan pada minit ke-15 hasil jaringan Azmi Sarmin.


