Articles

Nazmi kena tunggu

Permintaan PKNS untuk menggunakan khidmat bekas pemain kelab Portugal SC Beira Mar, Nazmi Faiz Mansor lebih awal pada aksi Liga Super 16 Februari ini tidak kesampaian apabila ditolak oleh Persatuan Bolasepak  Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Dato' Azzuddin Ahmad berkata, permintaan kelab Liga Super itu terpaksa ditolak kerana perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Tambah Dato' Azzuddin, mengikut peraturan perpindahan FAM, PKNS hanya boleh menggunakan khidmat pemain dari Keramat, Kuala Lumpur itu pada April ini. "Saya mengucapkan terima kasih kepada PKNS kerana menghormati peraturan FAM dan mereka perlu menunggu sehingga April untuk mendaftarkan Nazmi.

Keputusan yang kami buat ini bukan dilaksanakan mengikut emosi tetapi ini adalah prosedur biasa buat mana-mana pasukan dan mereka perlu mendaftar bermula 8 hingga 22 April ini," kata Dato Azzuddin kepada pemberita selepas mesyuarat berhubung status Nazmi bersama PKNS di Wisma FAM, Isnin (4/2/13).

Keputusan itu juga sekali gus memberi jawapan bahawa tiada aksi Nazmi bersama PKNS pada perlawanan Liga Super yang bakal bersambung Sabtu depan menentang Felda United di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Nazmi sebelum ini mengejutkan negara apabila menamatkan kontrak bersama Beira Mar melalui persetujuan bersama sebelum kembali ke Malaysia. Sementara itu, Dato' Azzuddin mengakui terkilan selepas mendengar alasan peribadi yang diberikan Nazmi untuk menamatkan kontrak bersama kelab Portugal itu. "Saya hormat dengan apa yang telah dimaklumkan oleh Nazmi kerana keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan keluarganya. "Sepatutnya apabila Nazmi pulang dia perlu memberitahu FAM terlebih dahulu tetapi ini tidak berlaku tambahan pula kami yang telah menghantarnya ke Portugal dengan cara baik. "Saya harap apa yang berlaku ini tidak membunuh semangat pemain muda lain untuk beraksi di luar negara," kata Dato' Azzuddin.