Presiden FAM bangga Nazmi dipilih
Peluang keemasan yang dimiliki pemain muda bola sepak negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor apabila terpilih menyertai sesi ujian pemilihan di Portugal turut mendapat perhatian Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.
Baginda bangga kerana Nazmi berjaya mendapat perhatian kelab Divisyen 1 Portugal, S.C Beira-Mar secara merit.
Pemain Harimau Muda itu telah berlepas ke Portugal Ahad lalu bersama bapanya, Mansor Mustapha.
"Saya bangga mendapat berita Nazmi ke luar negara untuk sesi pemilihan. Saya berharap dia dapat menimba ilmu serta mempertingkatkan permainannya," tegas Baginda pada sidang media di Subang, Selasa (15 05/12).
Pada majlis tersebut Baginda menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia yang akan menyertai Sukan Pekak Asia Pasifik Ketujuh minggu depan.
FAM turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM30,000.
Jelas baginda, selain menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran pemain yang berjaya memikat pasukan Eropah juga berpeluang untuk memiliki pendapatan yang lumayan serta menjadi inspirasi kepada pemain muda yang lain.


