Harimau berpeluang
Pasukan kebangsaan senior berpeluang menumbangkan Singapura pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang republik itu di Stadium Shah Alam, Selasa ini (12/06/12).
Peluang ini adalah berdasarkan permainan yang cemerlang pada perlawanan perlawanan Jumaat lalu yang seri 2-2 dan keputsan seri 0-0 dengan Filipina di Shah Alam, 1 Jun lalu..
Barisan 24 pemain kebangsaan kecuali Wan Zack Haikal Wan Nor yang cedera hamstring dilihat menampilkan kesungguhan, semangat dan keceriaan sepanjang dua jam sesi latihan di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin.
Malah jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal turut yakin anak buahnya mampu tampil dengan aksi lebih baik dan menarik berbanding Jumaat lalu, lebih-lebih lagi selepas kemenangan mereka dinafikan pengadil Hong Kong, Ng Kai Lam.
“Singapura memang pasukan kuat dengan barisan pemain berpengalaman dan naturalisasi. Mereka lebih banyak perlawanan kerana beraksi di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia berbanding kita.
“Tapi kita masih dapat beraksi baik di Stadium Jalan Besar biarpun akhirnya dikecewakan pengadil yang sampai ke hari ini saya masih hairan kenapa dia beri sepakan percuma dalam kotak penalti. Jadi saya yakin kita boleh menang (esok),” kata Rajagobal ketika ditemui selepas sesi latihan.


