SIARAN AKHBAR
JELAJAH ERA PIALA MALAYSIA 2012
Skuad Piala Malaysia temui para peminat bola sepak tanahair
Kuala Lumpur, 14 September 2012: Bagi menyemarakkan lagi kempen Era Piala Malaysia musim ini dan penyiar rasmi ERA, Astro Arena (Saluran 801) bersedia untuk membuat penjelajahan sulung untuk bertemu peminat bola sepak tanah air merangkumi enam buah negeri dan pasukan bermula 15 September ini (Sabtu)
Skuad Jelajah Era Piala Malaysia ini akan bermula di Negeri Sembilan bertempat di Seremban Parade pada 15 September, Sabtu diikuti Pahang di East Cost Mall, Kuantan pada (16 September, Ahad) dan Johor di Plaza Angsana, Johor Bahru (22 September 2012, Sabtu). Sementara tiga pasukan dan negeri lagi akan dimaklumkan kemudian.
Pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk bertemu dan mengambil gambar bersama-sama trofi Piala Malaysia dan pemain bola sepak pasukan negeri yang hadir bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Selain itu, anda juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik dan memenangi hadiah-hadiah hebat.
Layari laman web Astro Arena di www.arena.my atau laman Facebook rasmi di www.facebook.com/AstroArenaSaluran801 untuk mengetahui maklumat terkini mengenai lokasi kunjungan skuad jelajah Piala Malaysia seterusnya.
Para peminat bola sepak juga boleh mengambil bahagian dalam ERA Piala Malaysia – Liga Fantasi, sebuah permainan bola sepak fantasi di laman web Astro Arena (fantasy.arena.my) sepanjang kempen Piala Malaysia 2012. Daftarlah secara percuma untuk memilih pasukan idaman dan anda berpeluang untuk menguruskan pasukan serta pemain kegemaran anda. Skor keseluruhan pasukan fantasi ini akan ditentukan oleh keputusan dan persembahan para pemain dalam perlawanan sebenar. Para peserta juga berpeluang untuk memenangi hadiah lumayan sepanjang permainan ini.
Astro Arena turut akan membawakan perlawanan terpilih yang akan disiarkan pada Selasa, Jumaat dan Sabtu pada jam 8 malam. Saksikan perlawanan suku akhir pada 28 September dan 5 Oktober, separuh akhir pada 8 & 12 Oktober dan perlawanan akhir pada 20 Oktober (Sabtu).
Astro Arena juga boleh didapati melalui perkhidmatan Njoi.
Sebagai penaja rasmi Piala Malaysia 2012, stesen radio nombor 1 Malaysia, ERA FM (103.3 fm in Klang Valley/Kota Bharu) turut membawa liputan lengkap sebelum dan selepas perlawanan pada musim ini, ERA fm akan memberi maklumat perlawanan kepada hampir lima juta pendenga selain memberi tiket-tiket percuma untuk perlawanan-perlawanan terpilih melalui peraduan yang dikeudarakan mahupun daripada Skuad Perodua Era.
Latar Belakang Astro Arena
Astro Arena merupakan satu-satunya saluran sukan yang bersiaran selama 24 jam dengan memfokuskan perkembangan sukan dan atlit di Malaysia dan disampaikan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia. Perlancaran saluran ini bukan sahaja telah memacu Astro ke suatu aras yang tersendiri, tetapi telah melengkapkan tawarannya terhadap Pakej Famili merangkumi hiburan, pendidikan, dan kini sukan untuk capaian 15 juta penonton yang meliputi 2.93 juta kediaman di Malaysia. Pelbagai program utama di Astro Arena termasuk siaran langsung kejohanan sukan tempatan dan antarabangsa membabitkan aksi atlit negara termasuk laporan dari bilik berita ‘Nadi Arena’; yang bersiaran pada jam 7.30 pagi 1.00 petang dan 11.00 malam, ‘Kafe Sukan’; program temu bual yang membincangkan pelbagai topik berkenaan perkembangan sukan dan atlet tempatan, ‘Formasi’; sebuah program yang memfokuskan perkembangan terkini perlawanan liga bola sepak Malaysia dan ‘Aktifpedia’, rancangan gaya hidup yang membawa penonton untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian sukan yang ada di negara ini.


