4 PASUKAN LIGA PREMIER 2017 LULUS LESEN KELAB UNTUK BERAKSI PADA LIGA SUPER 2018

2017-12-06

Empat pasukan Liga Premier 2017 iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, PKNP FC dan Negeri Sembilan telah lulus dalam permohonan mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekali gus membolehkan mereka layak untuk beraksi pada saingan Liga Super 2018.

Surat kelulusan lesen berkenaan telah dihantar kepada empat pasukan tersebut, hari ini selepas mereka berjaya melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

Terdahulu, mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 15 November 2017 telah meneliti semua dokumen dihantar pasukan-pasukan terbabit dan mendapati pasukan PKNP FC dan Negeri Sembilan berjaya lulus enam kriteria utama yang ditetapkan itu.

Kuala Lumpur dan Terengganu pula telah diberi tempoh lanjutan selama dua minggu sehingga 30 November 2017 untuk mereka melengkapkan dokumen yang diperlukan dan akhirnya sebelum tarikh tutup berkenaan, kedua-dua pasukan berjaya juga untuk menghantarnya dengan lengkap.

Saya bagi pihak FAM selaku pihak yang memberikan lesen kelab ini ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan-pasukan yang telah berjaya memperoleh Lesen Kelab FAM ini di atas usaha pihak pengurusan masing-masing yang telah memberi komitmen sepenuhnya dalam memastikan permohonan mereka berjaya. Selamat maju jaya kepada keempat-empat pasukan ini bagi menghadapi saingan Liga Super 2018.

 

Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)