AKSI LEBIH BAIK KHAMIS INI - HAMIDIN

2016-05-31

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin menjanjikan aksi yang lebih baik akan ditampilkan skuad kebangsaan, Harimau Malaysia apabila turun berdepan Timor-Leste pada perlawanan pertama Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada Khamis ini (2 Jun 2016)

 Hamidin yang juga pengurus pasukan kebangsaan berkata, corak permainan dan persembahan para pemain skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu ketika seri 0-0 dengan Myanmar pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Thuwunna YTC, Yangon pada Sabtu lalu (28 Mei 2016) sedang cuba diperbaiki dan dipertingkatkan dalam beberapa sesi latihan di Johor Bahru bermula semalam.

 "Ya, memang saya akui pasukan kita masih belum mantap terutama dengan apa yang dipersembahkan pada perlawanan bertemu Myanmar tempoh hari, memandangkan kesemua 24 pemain hanya dapat dikumpulkan bersama dalam tempoh yang cukup singkat.

 "Tapi selepas menjalani latihan sulung di Johor Bahru, malam tadi dan disusuli dua lagi sesi latihan pada hari ini dan esok, saya percaya Datuk Ong (Kim Swee) mampu untuk memperbaiki dan memperkasakan jentera serangan serta mendapatkan barisan kesebelasan utama terbaik kita untuk bertemu Timor-Leste, Khamis ini.

 "Perlawanan pertama ini cukup penting kerana kita memerlukan kelebihan jaringan sebagai bekalan untuk perlawanan kedua pada 6 Jun (juga di Larkin) dan perlu memastikan pasukan Timor-Leste tidak mendapatkan jaringan di tempat lawan. Jadi apa yang boleh saya katakan, skuad Harimau Malaysia akan mempamerkan aksi lebih baik pada Khamis ini," kata Hamidin kepada www.fam.org.my, hari ini.

 Hamidin turut berharap para penyokong Harimau Malaysia yang berada di sekitar Johor Bahru terutamanya dapat hadir beramai-ramai ke Larkin bagi memberikan sokongan padu kepada para pemain bagi memastikan kemenangan pada perlawanan pertama ini mampu diraih bagi mencerahkan peluang Malaysia untuk layak ke saingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2019 yang akan bermula awal tahun depan.

 "Ini kali pertama skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk Ong (Kim Swee) bermain di Johor Bahru. Jadi saya sangat berharap para penyokong di sini terutamanya dapat sama-sama menghadirkan diri ke stadium bagi memastikan skuad Harimau Malaysia dapat menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri untuk kedua-dua perlawanan timbal balik pada 2 dan 6 Jun ini.

 "Saya percaya, jika lebih ramai penyokong hadir ke stadium, pasti para pemain akan lebih bersemangat untuk mempamerkan aksi terbaik, seterusnya menghadiahkan kemenangan kepada para penyokong," jelas Hamidin.

 Tiket-tiket berharga RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak) akan dijual pada hari perlawanan iaitu pada Khamis ini bermula jam 9 pagi di kaunter tiket di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin sehingga perlawanan bermula pada jam 8.45 malam.

 Namun, tiket online sudah pun dijual di laman web www.tickethotline.com.my.

 

FOTO: MYANMAR FOOTBALL FEDERATION