FIFA ANGGAP MPFL PENANDA ARAS TERBAIK

2019-02-19 KELANA JAYA: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menekankan peruntukan dana adalah aspek penting dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) - liga profesional futsal Malaysia yang pertama dilancarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ahad lalu. "Sememangnya bukan mudah untuk memulakan liga baharu, kita perlukan pengetahuan dan organisasi yang utuh di mana FAM sudah kecapinya pada tahun-tahun lepas. "Apa yang penting ialah aspek peruntukan dana untuk memastikan ia kekal mampan terutama dalam sudut pembangunan. "Bagaimanapun, saya percaya dengan sokongan dari FIFA dan AFC, FAM akan menepati ciri-ciri yang perlu dalam memastikan liga futsal ini kekal di Malaysia," kata Penyelaras Projek Pembangunan Pejabat Serantau, Niko Nhouvannasak. Tambah Nhouvannasak, FAM adalah contoh penanda aras terbaik dalam memperkenalkan liga futsal profesional. "FIFA sentiasa menggalakkan setiap persatuan dalam menganjurkan lebih banyak pertandingan, perlawanan dan FAM adalah contoh terbaik kerana badan sukan ini sudah memulakan langkah melabur dalam pertandingan dan infrastruktur. "Liga futsal baharu Malaysia ini, MPFL sememangnya berpotensi sebagai penanda aras dalam liga futsal profesional. "Kami berharap usaha ini akan menggalakkan serta menarik lebih ramai pemain dan jurulatih untuk menyertai futsal di masa depan," katanya. MPFL yang julung kali diadakan ini akan bermula April ini selama enam bulan dengan penyertaan 10 pasukan (Kedah, KL City, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Sarawak, Selangor dan Terengganu) bagi kategori lelaki manakala lima pasukan (Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Perlis dan Selangor) dalam kategori wanita.