FINAL PIALA PRESIDEN 2018: TERENGGANU FC III DINOBAT JUARA

2018-08-30

Terengganu FC III yang tersungkur di perlawanan akhir musim lepas berjaya menebus kekecewaan mereka apabila mengatasi Kedah 2-1 pada perlawanan akhir Piala Presiden 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam untuk bergelar juara pertandingan B-21 kebangsaan itu. 

Walau bagaimanapun, pasukan Kedah yang memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila berjaya menjaringkan gol pertama melalui tandukan penyerang mereka, Aminuddin Abu Bakar seawal minit kedua. 

Pada minit ke-13, penyerang pasukan Terengganu FC III, Mohamad Raimi Syahir mengambil kesempatan di atas kesilapan penjaga gol Kedah untuk menjaringkan gol penyamaan 1-1. 

Pasukan Kedah kendalian Victor Andrag mempunyai peluang emas untuk menjulang piala pada minit-minit terakhir perlawanan apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti. Tetapi penjaga gol Terengganu FC III, Mohamad Shafawi muncul wira untuk pasukannya apabila berjaya menafikan sepakan penalti kapten pasukan Kedah, Loqman Hakim Marzuki untuk memaksa perlawanan berlanjutan hingga ke masa tambahan 30 minit. 

Dalam separuh masa pertama masa tambahan, giliran Terengganu FC III pula dihadiahkan sepakan penalti dan ianya disempurnakan oleh Mohammad Samsul Ikram pada minit ke-102. Kedudukan 2-1 memihak anak buah bimbingan Badrul Hafzan itu kekal sehingga masa penuh.

Pada awal musim ini, Terengganu FC III mengakhiri peringkat kumpulan dengan menduduki tangga teratas kumpulan B. Mereka seterusnya berjaya menewaskan pasukan Kelantan di suku akhir dan kemudian menyingkirkan pasukan Johor Darul Ta'zim III di separuh akhir dalam laluan mereka digelar juara Piala Presiden 2018. 

Selaku juara, Terengganu FC III membawa pulang piala pusingan dan mok cek bernilai RM150,000 manakala Kedah selaku naib juara pulang dengan RM100,000 mok cek.

Kedah: Mohd Syazwan Jamil (PG), Mohd Loqman Hakim Marzuki (K), Muhammad Suhaimie Saad, Muhammad Asnawi Sonkurnain (Abdul Hadi Hasbollah 106'), Mohd Fazrul Danel Mohd Nizam, Aminuddin Abu Bakar (Mohamad Hasri Firzan Mohd Sukeri 70'), Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin (Mohd Khairuddin Mohd Salleh 108'), Mohammad Fairuz Zakaria, Mohammad Hidhir Idris (Ahmad Firdaus Ismail 114'), Mohamad Fadhli Rithwan (Akmal Azmi 77'), Mohd Aiman Afif Md Afizul.

Terengganu FC III: Mohd Shafawi Mohamad (PG), Mohammad Samsul Ikram Daud, Mohamad Najib Mohamad Sabri, Mohamad Raimi Syahir Muhamad (Khairil Nizam Kamaruddin 73'), Muhammad Izzan Syahmi Mustapa (Mohd Zarulizwan Mazlan 98'), Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali (Abdul Halim Hamzah 62'), Mohammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri (K), Muhammad Alif Zakaria (Wan Fakhrul Firdaus Wan Rusli 120+1'), Amirul Syazwan Nor Azmi, Muhammad Nur Isyraf Razali, Mohammad Ridzuan Mohd Razali (Mohammad Fitri Amani Ismail 105+1').

Pengadil Perlawanan: Noor Azriel Baharudin