JUARA BERTAHAN KELANTAN JULANG PIALA PRESIDEN 2016, LEBUR IMPIAN T-TEAM

2016-10-26

Juara bertahan, Kelantan muncul juara Piala Presiden 2016 selepas berjaya menewaskan T-Team 2-0 pada Perlawanan Akhir Kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Selepas diikat T-Team 1-1 pada Perlawanan Akhir Pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 18 Oktober lalu, kemenangan di gelanggang lawan malam tadi membolehkan Kelantan kendalian Hashim Mustapha menang menerusi agregat 3-1.

 Ia kejuaraan kali ketujuh buat Kelantan yang merupakan pasukan paling banyak berjaya menjulang trofi Piala Presiden menerusi kejuaraan pada edisi sulung tahun 1985, 1995, 2005, 2011, 2013, 2015 dan 2016.

 Sementara T-Team kendalian Nafuzi Zain yang mara ke final buat kali pertama gagal dalam usaha mereka mencipta sejarah menjulang trofi Piala Presiden. Musim lalu, Kelantan muncul juara ketika dibimbing oleh Nafuzi.

 Pada aksi malam tadi, Kelantan berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Raihan Huzaizi  pada minit ke-41 untuk mereka mendahului agregat 2-1.

 Sisa harapan T-Team lebur selepas Kelantan menambah gol kedua pada minit ke-82 hasil jaringan Danial Ashraf Abdullah menerusi satu gerakan serangan balas untuk pasukan pelawat berjaya melebarkan kedudukan agregat 3-1.

 Selaku juara, Kelantan membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 manakala T-Team sebagai naib juara menerima RM100,000.

 Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan & Sumber Manusia Negeri Terengganu, Dato' Rozi Mamat; Timbalan Presiden FAM, Dato' Sri Afandi Hamzah dan Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail.

 

T-TEAM: 21-Asyraf Azmi, 8-Amirul Hafizul Samsol, 14-Muhammad Mohd Faudzi, 23-Aqil Irfanuddin Sabri (C), 13-Aizat Hanapi (20-Zarulizwan Mazlan 57'), 2-Naqib Najwan Saufi, 26-Azrul Amri Ishak, 18-Azalinullah Alias, 7-Safawi Rasid, 15-Zuasyraf Zulkiefle, 22-Engku Nur Shakir Engku Yacob (11-Raimi Shair Muhamad 89').

KELANTAN: 22-Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, 25-Syamry Mohamad, 30-Faris Shah Rosli (C) (18-Muslim Kamaruddin 87'), 20-Nasharizam Ab Rashid, 23-Azwan Aripin, 27-Fikram Mohamad, 28-Wan Ahmad Fuad Wan Jusoh, 26-Fadhilah Pauzi, 8-Shafiq Ab Rahman (31-Shahrul Nizam Ros Hasni 76'), 17-Danial Ashraf Abdullah, 6-Raihan Huzaizi (10-Nik Azli Nik 72').

Pengadil: Zulkarnain Zakaria

 

KOMEN KETUA JURULATIH KELANTAN, HASHIM MUSTAPHA

"Alhamdulillah, saya cukup berbangga dengan para pemain saya yang telah menunjukkan satu komitmen yang sungguh luar biasa untuk memastikan kejuaraan Piala Presiden dapat dikekalkan oleh pasukan Kelantan.

 "Pada firasat saya, jika kita berjaya menamatkan separuh masa pertama dengan mendahului 1-0, saya rasa perlawanan malam ini akan menjadi milik kita. Alhamdulillah ia menjadi kenyataan.

 "Tiada tekanan buat pasukan kami. Saya telah beri kata dua kepada para pemain dengan mengatakan jika perlawanan ini berakhir dengan 0-0, kita akan kalah. Kalau seri 1-1, kena main masa tambahan 30 minit.

 "Itu yang saya minta mereka letak dalam fikiran mereka untuk bermain 90 minit dan kita memperjudikan nasib, sama ada menang atau pun kalah terus. Alhamdulillah semuanya menjadi dan kita berjaya memenangi perlawanan malam ini.

 "Kehadiran Faris Shah Rosli yang kita tunggu-tunggu memang banyak membantu. Alhamdulillah dia berjaya memainkan peranan dengan baik malam ini."

 

KOMEN KETUA JURULATIH T-TEAM, NAFUZI ZAIN

"Pertama sekali, tahniah buat pasukan Kelantan kerana berjaya mengekalkan kejuaraan. Tapi saya tetap berbangga dengan para pemain T-Team yang telah mempamerkan persembahan dari awal musim dan sememangnya mereka berhak untuk mara sehingga ke final ini.

 "Kita telah menunjukkan kualiti kita daripada pasukan yang tiada siapa sangka mampu mara ke final. Ia sudah dianggap satu kejayaan dan mungkin kita tidak bernasib baik malam ini dan Kelantan pun beraksi dengan baik. Kita sudah cuba habis-habisan.

 "Dalam aksi final, pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan menang. Kita telah melakukan kesilapan dan dihukum. Tapi dari segi persembahan keseluruhan, saya tetap berpuas hati dan bagi saya para pemain ini adalah masa depan bola sepak Terengganu.

 "Babak pertama kita bermain dengan baik tetapi kesilapan penjaga gol yang mungkin disebabkan tekanan beraksi di hadapan penyokong sendiri. Mereka masih muda dan kurang pengalaman, bagus untuk mereka belajar dan memperbaikinya. Sama juga saya yang masih dalam pembelajaran sebagai seorang jurulatih.

 "Mengenai Safawi Rasid, mungkin persefahaman permainannya kurang menjadi kerana kita tidak pernah menggunakan khidmatnya sebelum ini. Tapi kita terpaksa turunkannya kerana ramai pemain yang cedera. Apa pun saya tetap puas hati dengan komitmen ditunjukkannya."