KEJOHANAN B-23 PIALA DUBAI 2017: CHINA 1-1 MALAYSIA

2017-03-20 

 Skuad B-22 kebangsaan kendalian Frank Bernhardt bangkit pada minit akhir untuk mengikat China 1-1 pada aksi sulung Kejohanan B-23 Piala Dubai 2017 di Stadium Police Officers Club, Dubai, malam tadi.

 Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, pasukan China bimbingan Fabrizio Del Rosso terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti Yao Jun Sheng pada minit ke-69.

 Bagaimanapun, pemain negara menunjukkan semangat jitu untuk bangkit melancarkan serangan bertali arus yang membuahkan hasil pada minit ke-90 apabila penyerang, N Thanabalan pantas menyambar bola muntah daripada penjaga gol pasukan lawan, Zhou Yu Chen hasil tandukan bek tengah negara, Syazwan Zaipol Bahari.

 Sementara itu, dua perlawanan lain menyaksikan Jordan menewaskan Singapura 2-0 manakala Thailand menumpaskan UAE 2-1. Malaysia akan meneruskan kempen menentang Thailand, Khamis (23 Mac) ini sebelum bertemu Singapura (26 Mac) dan Jordan (28 Mac) pada aksi terakhir.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD HARIMAU MALAYSIA B-22, FRANK BERNHARDT

“Pada separuh masa pertama, kita bermain dengan corak bertahan kerana mereka menurunkan pemain-pemain yang bagus.

“Berbeza dengan separuh masa kedua, kita lebih banyak menguasai permainan dan menyerang dengan taktik ‘pressing’ serta serangan balas. Sebenarnya kita ada dua peluang baik untuk menjaringkan gol.

“Bagaimanapun, 1-1 bagi saya adalah keputusan baik untuk kedua-dua pasukan. Saya harap pemain dapat menggunakan keputusan ini sebagai motivasi untuk beraksi dengan lebih baik dalam perlawanan seterusnya.”