KEJOHANAN B-23 PIALA DUBAI 2017: THAILAND 4-0 MALAYSIA

2017-03-23

 Skuad Harimau Malaysia B-22 tewas 0-4 kepada Thailand pada aksi kedua Kejohanan B-23 Piala Dubai 2017 di Stadium UAE FA, Dubai, malam tadi.

 Pasukan ‘War Elephants’ membuka tirai jaringan pada minit ke-19 melalui sepakan penalti Sittichok Kannoo selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang turut menerima kad merah.

 Empat minit sebelum separuh masa pertama berakhir, pemain sayap, Safawi Rasid turut dilayangkan kad merah oleh pengadil dari UAE, Saker Al Zaabi.

 Bersambung babak kedua, Thailand bimbingan Wurawoot Srimaka memanfaatkan kelebihan itu dengan menjaringkan dua gol dalam dalam tempoh lima minit menerusi Sasalak Haiprakhon (m-60) dan Phitiwat Sookjitthummakul (m-65).

 Malang terus menimpa skuad kebangsaan setelah pemain tengah, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri muncul pemain ketiga yang diperintah keluar padang akibat kekasaran terhadap pihak lawan.

 Penjaga gol gantian, Mohd Ifwat Akmal bagaimanapun berjaya menyelamatkan sepakan penalti Kannoo pada minit ke-70.

 Tanasith Sripala kemudiannya menjaringkan gol pada minit ke-90 untuk kedudukan sepenuh masa berakhir 4-0. Untuk rekod, Malaysia raih 1 mata selepas seri 1-1 dengan China pada perlawanan pembukaan Isnin lalu.