KEJUARAAN B-23 AFC 2018: MALAYSIA DIUNDI BERSAMA IRAQ, JORDAN & ARAB SAUDI DALAM KUMPULAN C

2017-10-25

Skuad B-23 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee telah diundi berada dalam Kumpulan C bersama Iraq, Jordan dan Arab Saudi pada majlis undian bagi pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang berlangsung di Changzhou, China, petang semalam.

 Malaysia yang kandas pada saingan kelayakan dua edisi sebelum ini (di Yangon, Myanmar pada Jun 2012 dan di Shah Alam pada Mac 2015) berjaya layak buat kali pertama ke pusingan akhir pada edisi ketiga kali ini selepas menjuarai Kumpulan H saingan kelayakan di Bangkok, Thailand pada Julai lalu.

 Iraq diletakkan dalam Balang 1 berdasarkan rekod muncul pemenang tempat ketiga edisi kedua yang berlangsung di Doha, Qatar pada Januari 2016. Iraq juga merupakan juara sulung kejohanan yang berlangsung di Oman pada Januari 2014.

 Jordan pula yang diletakkan dalam Balang 2 telah kandas pada suku akhir edisi kedua pada 2016 selepas tewas kepada naib juara, Korea Selatan. Pada saingan edisi pertama, Jordan menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Korea Selatan.

 Sementara Arab Saudi berada dalam Balang 3 selepas gagal ke suku akhir pada edisi 2016 kerana sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan B. Namun pada edisi sulung, Arab Saudi muncul naib juara selepas tewas 1-0 kepada Iraq pada aksi final.

 BIarpun mengakui Malaysia berada dalam kumpulan yang agak sukar pada penampilan sulung ini, Kim Swee tetap optimis bahawa barisan kendaliannya mampu melakukan kejutan bagi mengisi dua tempat teratas layak ke suku akhir.

 "Sebelum undian lagi, kita tahu di mana pun kita diletakkan sekali pun, saya percaya itu satu tugas yang cukup mencabar.

 "Apabila diundi bersama Iraq, Jordan dan Arab Saudi, saya percaya ini satu pengalaman yang cukup baik buat para pemain dan pada masa sama kita harus mencuba untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

 "Itu bukan sesuatu yang mustahil kerana selalu saya katakan yang pada pertandingan peringkat umur seperti ini, jurang tidak begitu jauh antara satu sama lain.

 "Kita tahu ketiga-tiga pasukan ini dari Timur Tengah dan mereka pasti mempunyai kelebihan kerana sudah selalu bermain di kalangan mereka dan kemungkinan besar mereka mempunyai corak permainan yang lebih kurang sama," kata Kim Swee selepas majlis undian, petang semalam.

 

KEPUTUSAN UNDIAN:

 

KUMPULAN A: China (tuan rumah), Qatar, Uzbekistan & Oman

KUMPULAN B: Jepun (juara bertahan), Korea Utara, Thailand & Palestin

KUMPULAN C: Iraq, Jordan, Arab Saudi & MALAYSIA

KUMPULAN D: Korea Selatan, Australia, Syria & Vietnam

 

JADUAL PERLAWANAN:

 

KUMPULAN C

 

RABU, 10 JANUARI 2018

 

Iraq lwn MALAYSIA

Stadium Changshu, China, 4.00 ptg

 

Jordan lwn Arab Saudi

Stadium Changshu, China, 7.30 mlm

 

SABTU, 13 JANUARI 2018

 

MALAYSIA lwn Jordan

Stadium Changshu, China, 4.00 ptg

 

Arab Saudi lwn Iraq

Stadium Changshu, China, 7.30 mlm

 

SELASA, 16 JANUARI 2018

 

Iraq lwn Jordan

Stadium Changshu, China, 7.30 mlm

 

Arab Saudi lwn MALAYSIA

Stadium Kunshan, China, 7.30 mlm

 

SABTU, 20 JANUARI 2018

SUKU AKHIR

 

SELASA, 23 JANUARI 2018

SEPARUH AKHIR

 

SABTU, 27 JANUARI 2018

FINAL