KEJUARAAN FUTSAL AFF 2016: MALAYSIA 8-1 TIMOR-LESTE (TEMPAT KE-3)

2017-01-29

Skuad futsal kebangsaan, Harimau Malaysia berjaya menamatkan saingan Kejuaraan Futsal AFF 2016 di tempat ketiga selepas mudah menewaskan Timor-Leste 8-1 pada perlawanan penentuan tempat ketiga & keempat di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, petang tadi.

 Biarpun ketinggalan seawal minit pertama menerusi jaringan Jose Lopes Vide, skuad kendalian Chiew Chun Yong itu bangkit membalas dua gol menerusi Azri Rahman (m-4) dan Saiful Aula Ahmad (m-17) untuk menamatkan separuh masa pertama dengan mendahului 2-1.

 Bersambung babak kedua, skuad Harimau Malaysia terus garang menambah enam lagi gol menerusi Khairul Effendy Bahrin (m-21 & m-36), Ridzwan Bakri (m-28), Awalluddin Mat Nawi (m-30 & m-36) dan Azwann Ismail (m-40).

 Terdahulu, skuad Harimau Malaysia memulakan kempen edisi kali ini dengan langkah kanan selepas berjaya menewaskan Indonesia 6-5 dan membelasah Laos 13-1 tetapi tewas 5-3 kepada Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan B untuk mara ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan.

 Pada aksi separuh akhir Jumaat lalu, skuad Harimau Malaysia hampir mencipta kejutan apabila berjaya mendahului 3-0 pada separuh masa pertama, namun terpaksa akur dengan kebangkitan Thailand yang membalas lima gol pada babak kedua untuk pasukan tuan rumah itu mara ke final menerusi kemenangan 5-3.

 Sebagai rekod, Malaysia turut meraih tempat ketiga pada edisi 2015 yang juga berlangsung di Bangkok ketika di bawah kendalian jurulatih Marcelo Serpa.

 Malaysia belum pernah bergelar juara kejohanan tetapi tiga kali berjaya muncul naib juara iaitu pada 2003, 2005 dan 2010.

 Sementara itu, Thailand muncul juara buat kali ke-12 selepas berjaya menewaskan Myanmar 8-1 pada aksi final yang baru berakhir sebentar tadi.

 Kejuaraan Futsal AFF 2017 iaitu edisi ke-14 kejohanan ini bakal berlangsung di Ho Chi Minh City, Vietnam pada November 2017.

 

KREDIT FOTO: FACEBOOK SMM THAILAND FUTSAL

 

KOMEN KETUA JURULATIH FUTSAL MALAYSIA, CHIEW CHUN YONG:

"Secara keseluruhan, saya rasa persembahan para pemain pada perlawanan hari ini agak meyakinkan. Tapi separuh masa pertama, kita ketinggalan dan agak sukar untuk menghasilkan banyak gol dengan hanya berjaya mendahului 2-1.

 "Tapi pada babak kedua, para pemain berjaya bangkit dan beraksi mengikut perancangan permainan. Jadi kita dapat menjaringkan banyak gol dan kembali bermain dengan corak permainan seperti biasa. Ia sesuatu yang positif ditunjukkan oleh para pemain.

 "Sebenarnya bagi saya, tiada apa yang perlu diraikan sangat kerana biarpun kita berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga, secara jujurnya saya berasakan yang kita sepatutnya boleh melakukan yang lebih baik pada kejohanan kali ini.

 "Apa pun, banyak peningkatan dapat kita lihat sepanjang berada di Bangkok ini terutama dari segi taktikal, strategi permainan dan juga mental para pemain. Tapi sudah tentu saya memerlukan lebih banyak masa dan lebih perlawanan antarabangsa untuk menggilap para pemain dalam pasukan ini.

 "Dengan hanya latihan pusat selama dua bulan dan tanpa liga domestik selama setahun, saya rasa pencapaian di Bangkok ini boleh dianggap memadai.

 "Cuma harap selepas ini kita akan dapat melihat liga domestik yang kompetitif dan juga lebih latihan pusat serta perlawanan antarabangsa bagi meneruskan momentum baik ini menjelang Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Ogos ini."