KEJUARAAN FUTSAL AFF 2017: MALAYSIA NAIB JUARA, TEWAS KEPADA THAILAND PADA MASA TAMBAHAN

2017-11-04

Skuad futsal kebangsaan kendalian Chiew Chun Yong hampir berjaya mencipta sejarah sebelum akhirnya tewas 4-3 kepada juara bertahan, Thailand pada perlawanan akhir Kejuaraan Futsal AFF 2017 yang berlanjutan ke masa tambahan di Stadium Phu Tho, Ho Chi Minh City, Vietnam, malam tadi.

 Malaysia bermula baik apabila berjaya mendahului 2-0 menerusi jaringan Awalluddin Mat Nawi pada minit kelima dan Ridzwan Bakri minit ketujuh sebelum Tanachot Sosawaeng merapatkan kedudukan pada minit ke-12 untuk kedudukan 2-1 pada separuh masa pertama.

 Bersambung babak kedua, Malaysia kembali selesa apabila berjaya memperoleh gol ketiga menerusi jaringan Awaluddin Hasan pada minit ke-23 untuk seketika mendahului 3-1.

 Namun Thailand kendalian jurulatih dari Sepanyol, Jose Mendez mengheret permainan ke masa tambahan selepas berjaya membalas dua gol menerusi Muhammad Osamanmusa pada minit ke-27 dan Jetsada Chudech minit ke-31 untuk mengikat kedudukan 3-3 sehingga tamat 40 minit masa penuh permainan.

 Sewaktu 10 minit permainan masa tambahan berlangsung, Thailand berjaya memperoleh gol keempat menerusi jaringan Ronnachai Jungwongsuk pada minit ke-44 dan Malaysia gagal mencari gol penyamaan bagi membawa permainan ke penentuan sepakan penalti.

 Terdahulu, Malaysia muncul naib juara Kumpulan B di belakang Thailand dengan mengumpul enam mata selepas mencatat dua kemenangan awal menewaskan Timor-Leste 7-2 pada 26 Oktober dan mengatasi Laos 6-3 pada 27 Oktober sebelum tewas 6-3 kepada Thailand pada 28 Oktober.

 Kumpulan A pula menyaksikan Vietnam muncul juara kumpulan dengan 12 mata maksimum diikuti Myanmar di tangga kedua dengan sembilan mata manakala Indonesia gagal ke separuh akhir selepas sekadar menduduki tangga ketiga dengan enam mata.

 Pada aksi separuh akhir yang berlangsung pada 1 November, Thailand mudah mengatasi Myanmar 8-3 pada perlawanan sebelah petang sebelum Malaysia berjaya mengejutkan tuan rumah, Vietnam menerusi kemenangan bergaya 5-1 pada aksi sebelah malam.

 Myanmar muncul pemenang tempat ketiga menerusi kemenangan 4-3 pada penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 dengan Vietnam pada masa penuh aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, petang semalam.

 Sepanjang 14 edisi kejohanan ini berlangsung, Thailand muncul juara sebanyak 13 kali kecuali edisi 2010 di Vietnam yang tidak disertai mereka yang menyaksikan Indonesia berjaya muncul juara selepas menewaskan Malaysia 5-0 pada perlawanan akhir.

 Bagi Malaysia, kejayaan mara ke final edisi 2017 ini merupakan pencapaian terbaik selepas lima edisi berturut sebelum ini kandas di peringkat separuh akhir (3 kali) atau di peringkat kumpulan (2 kali).

 Pencapaian terbaik Malaysia ialah muncul naib juara sebanyak empat kali iaitu pada 2003, 2005, 2010 dan terbaharu 2017.

 

SENARAI 14 PEMAIN MALAYSIA:

1-Firdaus Razali (PG), 2-Abu Haniffa Hasan, 3-Azri Rahman, 4-Akmarulnizam Idris, 5-Awalluddin Mat Nawi, 6-Ridzwan Bakri, 7-Khairul Effendy Bahrin (K), 8-Farikh Khabibor Rahman, 9-Azwann Ismail, 10-Syed Aizad Daniel Syed Nasir, 11-Awaluddin Hasan, 12-Azrul Hadee Taufiq (PG), 13-Saiful Nizam Mohd Ali, 14-Yazid Kamaruzuan.