KEJUARAAN FUTSAL WANITA AFC 2018: MALAYSIA DIUNDI BERSAMA VIETNAM, CHINESE TAIPEI & BANGLADESH

2018-03-06

Skuad futsal wanita kebangsaan yang kini di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Addie Azwan Zainal telah diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Chinese Taipei dan Bangladesh bagi Kejuaraan Futsal Wanita AFC 2018 di Bangkok, Thailand dari 2 hingga 12 Mei depan.

Pada majlis undian yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil, petang semalam, Iran selaku juara edisi sulung pada 2015 di Nilai, Negeri Sembilan telah diundi dalam Kumpulan D yang hanya disertai tiga pasukan iaitu Uzbekistan dan Turkmenistan.

Naib juara edisi 2015, Jepun pula diundi dalam Kumpulan C bersama China, Bahrain dan Lebanon.

Sementara tuan rumah, Thailand yang menduduki tempat ketiga edisi 2015 itu diundi dalam Kumpulan A bersama Hong Kong, Indonesia dan Macau bagi melengkapkan senarai 15 pasukan menyertai edisi kedua ini berbanding hanya lapan pasukan pada edisi sulung 2015.

Addie Azwan, 38, yang pernah menjadi penolong jurulatih skuad futsal lelaki kebangsaan ketika di bawah bimbingan Marcelo Serpa dilantik menggantikan Muizzudin Haris yang mengendalikan skuad futsal wanita kebangsaan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos tahun lalu.

Malaysia akan membuka kempen di Bangkok nanti bertemu Bangladesh pada 2 Mei, diikuti aksi menentang Chinese Taipei pada 4 Mei dan Vietnam pada 6 Mei, ketiga-tiga aksi di Bangkok Arena.

Jika Malaysia layak ke suku akhir, perlawanan dijadual pada 9 Mei di Bangkok Arena atau Stadium Tertutup Huamark bertemu juara atau naib juara dari Kumpulan A. Seterusnya aksi separuh akhir dan final dijadual pada 10 dan 12 Mei di Stadium Tertutup Huamark.

Pada Kejuaraan Futsal Wanita AFC 2015, Malaysia yang ketika itu di bawah kendalian Chiew Chun Yong (kini ketua jurulatih skuad futsal lelaki kebangsaan) berjaya layak ke separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan A menerusi enam mata hasil dua kemenangan ke atas Uzbekistan 9-4 dan Hong Kong 4-1 sebelum tewas 4-2 kepada Iran yang muncul juara kumpulan.

Namun pada separuh akhir, Malaysia tewas 8-1 kepada Jepun sebelum tewas 4-1 kepada Thailand pada perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat.

Skuad futsal wanita kebangsaan akan memulakan kem latihan pusat pada Rabu depan (14 Mac 2018).