KELAYAKAN PIALA ASIA 2019: KOREA UTARA 4-1 MALAYSIA

2017-11-11

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Nelo Vingada tewas 4-1 kepada pasukan ranking ke-132 dunia, Korea Utara yang bertindak sebagai tuan rumah pada perlawanan keempat Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand, malam tadi.

 Malaysia yang kini di ranking ke-170 dunia ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama menerusi sepakan penalti Pak Kwang Ryong pada minit ke-12 selepas bola terkena tangan ketua pasukan, Fadhli Shas serta tandukan Kim Yu Song selepas sepakan percuma pada minit ke-42.

 Korea Utara kendalian Jorn Andersen terus selesa menambah dua lagi gol pada babak kedua menerusi jaringan Kim Yong Il pada minit ke-48 serta sepakan percuma Jong Il Gwan minit ke-59 sebelum pemain gantian, Safawi Rasid membalas satu gol untuk Malaysia pada minit ke-67.

 Dengan kekalahan ini, Malaysia kekal di tangga keempat Kumpulan B dengan satu mata, sambil Lebanon di tangga teratas dengan 10 mata diikuti Korea Utara dan Hong Kong, sama lima mata selepas empat perlawanan.

 Malaysia akan bertindak pula sebagai tuan rumah untuk perlawanan kelima berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram pada Isnin, 13 November 2017, sepak mula jam 7.00 malam (waktu Thailand).

 Kedua-dua perlawanan membabitkan Malaysia dan Korea Utara terpaksa dilangsungkan di gelanggang berkecuali ekoran ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara yang telah menyebabkan perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Pyongyang, Korea Utara telah ditangguhkan beberapa kali.

 Seterusnya, perlawanan keenam dan terakhir kumpulan bagi saingan kelayakan ini akan berlangsung pada 27 Mac 2018 dengan Malaysia bakal bertandang ke Beirut untuk bertemu Lebanon.

 

KOREA UTARA: 1-Ri Myong Guk (PG) (K), 2-Sim Hyon Jin, 3-Jang Kuk Chol, 5-Ri Un Chol, 6-Kang Kuk Chol (4-Pak Myong Song 86'), 10-Ri Yong Jik, 11-Jong Il Gwan (14-Kang Kuk Chol 65'), 12-An Song Il, 15-Kim Yong Il, 19-Pak Kwang Ryong, 23-Kim Yu Song (8-Kim Kuk Bom 78').

MALAYSIA: 23-Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (PG); 12-S Kunanlan, 18-Kiko Insa, 4-Fadhli Shas (K), 15-Fazly Mazlan; 17-Syamer Kutty Abba (5-Shahrom Abdul Kalam 46'), 20-Afiq Fazail (3-Nor Azam Abdul Azih 67'), 10-Nazmi Faiz Mansor; 16-Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 9-Ahmad Hazwan Bakri, 19-Wan Zack Haikal Wan Nor (11-Safawi Rasid 54').

Pengadil: Fahad Adwan Almirdasi (Arab Saudi)