KELAYAKAN PIALA ASIA 2019: MALAYSIA 1-2 LUBNAN

2017-06-14

Skuad kebangsaan memulakan kempen Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 dengan kekalahan tipis 1-2 kepada Lubnan di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, malam tadi, pada aksi debut di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Nelo Vingada.

 Pemain sayap kanan, Mahalli Jasuli terlebih dahulu meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-43 setelah menyambar bola yang gagal didakap kemas penjaga gol, Mehdi Khalil hasil hantaran deras Syazwan Zainon untuk kedudukan separuh masa pertama 1-0.

 Bersambung babak kedua, pasukan pelawat tampil garang dan menguji gawang Malaysia yang dijaga rapi Khairulazhan Mohd Khalid menerusi beberapa percubaan bahaya Hassan Maatouk dan Mohamad Haidar. 

 Bagaimanapun, pemain gantian Lubnan, Rabih Ataya menjadi duri dalam daging buat skuad negara dengan meledak dua gol pada minit ke-80 dan juga pada masa kecederaan bagi membolehkan pasukan bimbingan Miodrag Radulovic meraih kemenangan kedua untuk mengumpul enam mata maksimum.

 Pada satu lagi perlawanan Kumpulan B, Hong Kong dan Korea Utara berkongsi mata setelah terikat 1-1.

 Harimau Malaya akan meneruskan kempen menentang Hong Kong pada 5 September depan di Larkin.

MALAYSIA: 1-Khairulazhan Mohd Khalid; 21-Nazirul Naim, 5-Mohd Shahrom Abdul Kalam, 13-Khairul Helmi Johari, 15-Mohd Rizal Mohd Ghazali, 6-Mohd Amirulhadi Zainal, 7-Baddrol Bakhtiar (4-Mohd Afif Bin Amiruddin 77'), 8-Safiq Rahim (C), 18-Mahalli Jasuli (19-Azammuddin Bin Mohd Akil 86'), 16-Syazwan Zainon(17-Mohd Amri Bin Yahya 74'), 9-Hazwan Bakri.

LUBNAN: 23-Mehdi Khalil; 3-Mootaz Jounaidi (9- Abou Bakr Al Mel 72'), 4-Nour Mansour, 8-Nassar Nassar, 6-Samir Ayass; 7-Hassan Maatouk (C), 10-Mohamad Haidar(20-Rabih Ataya 46'), 14-Nader Matar, 15-Haytam Faour; 17-Mohamad Tahan, 13-Hassan Ali Saad(Hilal Alhelwe 64').

Pengadil: Jameel Juma Abdulhusain Mohamed (Bahrain)

KOMEN KETUA JURULATIH HARIMAU MALAYA, NELO VINGADA

“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan ini di mana pasukan lawan menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan. Bagaimanapun, saya gembira dengan prestasi pemain-pemain. Mereka telah berusaha sehabis baik untuk mempamerkan corak permainan ampuh dan bekerja keras malam ini.

“Terdapat beberapa kesilapan telah dilakukan, tetapi saya percaya pasukan kita akan menjadi lebih baik lagi. Ketika kedudukan terikat 1-1, kita terlepas peluang baik di hadapan gol dan Lubnan mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol kemenangan. Saya berharap ia tidak akan berulang pada perlawanan akan datang.

“Saya percaya pemain-pemain yang ada sekarang ini akan menjadi lebih baik pada bulan September nanti. Ada banyak lagi kejohanan akan datang dan saya akan berpeluang untuk meneliti pemain-pemain termasuk skuad Sukan SEA.