KELAYAKAN PIALA ASIA 2019: MALAYSIA 1-4 KOREA UTARA

2017-11-14

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Nelo Vingada sekali lagi tewas 4-1 kepada Korea Utara pada perlawanan kelima Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand, malam tadi.

 Malaysia, berkedudukan ranking ke-170 dunia bertindak sebagai tuan rumah untuk perlawanan tersebut selepas turut tewas 4-1 kepada Korea Utara, ranking ke-132 dunia di gelanggang sama pada 10 November lalu dengan Korea Utara sebagai pasukan tuan rumah.

 Dengan kekalahan malam tadi, Malaysia telah sah tersingkir untuk layak selaku dua pasukan teratas ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di UAE selepas kekal di tangga keempat Kumpulan B dengan satu mata, di belakang Lebanon, Korea Utara dan Hong Kong.

 Vingada membuat rombakan dalam kesebelasan utamanya dengan hanya mengekalkan tiga pemain daripada kesebelasan aksi 10 November lalu iaitu penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Kiko Insa dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

 Bagaimanapun ia tidak dapat menghalang kemaraan Korea Selatan kendalian Jorn Andersen yang berjaya mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi hatrik penyerangnya, Kim Yu Song pada minit ke-15, 20 dan 44.

 Pak Kwang Ryong menambah gol keempat Korea Utara pada minit ke-79 sebelum gol tunggal skuad kebangsaan berjaya dijaringkan oleh pemain gantian, Safawi Rasid pada minit ke-85.

 Skuad Harimau Malaya bakal melengkapkan saingan kelayakan ini dengan bertemu Lebanon di Beirut pada 27 Mac 2018.

 

MALAYSIA: 23-Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (PG); 2-Amirul Azhan Aznan, 5-Shahrom Kalam (K), 6-Adam Nor Azlin, 21-Nazirul Naim Che Hashim; 3-Nor Azam Abdul Azih, 18-Kiko Insa (4-Fadhli Shas 46'), 7-Ahmad Khairil Anuar Zamri (8-Safiq Rahim 46'); 19-Wan Zack Haikal Wan Nor (11-Safawi Rasid 67'), 13-Syafiq Ahmad, 14-Hadin Azman.

KOREA UTARA: 1-Ri Myong Guk (PG) (K), 2-Sim Hyon Jin, 3-Jang Kuk Chol, 5-Ri Un Chol, 6-Kang Kuk Chol, 10-Ri Yong Jik (9-Pak Song Chol 70'), 11-Jong Il Gwan (17-Myong Cha Hyon 90'), 15-Kim Yong Il (14-Kang Kuk Chol 78'), 18-Ri Yong Chol, 19-Pak Kwang Ryong, 23-Kim Yu Song.

Pengadil: Ahmed Abu Bakar Al Kaf (Oman)