KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGUNG FAM BERHUBUNG ISU STATUS PERLAWANAN MENENTANG NEW CALEDONIA

2016-07-01

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini ingin memberi penjelasan berhubung isu status perlawanan persahabatan antarabangsa antara skuad kebangsaan, Harimau Malaysia bertemu New Caledonia di Stade Numa Daly, Noumea, New Caledonia pada 22 Jun lalu.

 Perlawanan berkenaan pada asalnya sememangnya berstatus "A", namun disebabkan pihak tuan rumah, Persekutuan Bolasepak New Caledonia (FCF) telah melakukan kesilapan teknikal, maka status "A" bagi perlawanan berkenaan telah ditarik balik oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

 Kesilapan berkenaan adalah berkaitan dengan Artikel 10.1 dalam 'FIFA Regulations Governing International Matches' yang menyatakan bahawa tuan rumah perlu memastikan pengadil dan pembantu pengadil yang ditugaskan untuk perlawanan berstatus "A" mestilah dari kalangan mereka yang berada dalam senarai terkini pengadil dan pembantu pengadil FIFA.

 Namun pihak tuan rumah bagi perlawanan New Caledonia bertemu Malaysia iaitu FCF telah melantik hanya pengadil dari senarai FIFA tetapi dua pembantu pengadil yang dilantik itu nama mereka tiada dalam Senarai Pengadil & Pembantu Pengadil FIFA 2016.

 Itu yang menyebabkan keputusan perlawanan berkenaan yang berkesudahan Malaysia menang 2-1 tidak dipaparkan di laman web FIFA, sekali gus ia tidak dikira untuk kiraan mata bagi ranking FIFA yang kemas kini berikutnya akan dibuat pada 14 Julai depan.

 Jelas apa yang berlaku ini bukan kesilapan daripada FAM kerana pihak persatuan telah pun mengikut segala prosedur ditetapkan FIFA dalam memohon untuk perlawanan ini berstatus "A".

 FAM pada 31 Mei 2016 telah pun mengisi borang permohonan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa "A" bagi ketiga-tiga perlawanan dalam siri Jelajah Oceania 2016 antara Malaysia bertemu Papua New Guinea, New Caledonia dan Fiji.

 Pada 10 Jun 2016, FAM telah menerima surat penerimaan borang permohonan berkenaan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan pada tarikh yang sama juga, FCF turut menerima surat kebenaran mengenai perlawanan berkenaan daripada Konfederasi Bolasepak Oceania (OFC).

 Susulan itu, FIFA menerusi pengarah bolasepaknya, Mustapha Fahmy pada 14 Jun 2016 telah mengutuskan surat kepada Setiausaha Agung FCF, Nicolas Guillemard berhubung pemakluman kebenaran untuk penganjuran perlawanan persahabatan antarabangsa "A" antara New Caledonia bertemu Malaysia itu dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

 Ia termasuk keperluan untuk mengemukakan nama pengadil perlawanan dan juga perlu memastikan segala laporan perlawanan, senarai pemain serta laporan pengadil perlu dihantar kepada FIFA dalam tempoh 48 jam selepas perlawanan.

 Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengapa keputusan perlawanan antara New Caledonia bertemu Malaysia itu tidak dipaparkan di laman web FIFA, pihak persatuan telah menghubungi FIFA dan FCF bagi mendapatkan kepastian apa yang berlaku.

 FIFA kemudian telah memberi maklum balas dan menyatakan alasan mengapa status "A" bagi perlawanan berkenaan terpaksa digugurkan dan ditarik balik iaitu berpunca daripada kegagalan FCF menepati syarat untuk menyenaraikan dua pembantu pengadil dari senarai terkini pengadil antarabangsa bertaraf FIFA.

 Justeru FAM terpaksa akur dengan keputusan FIFA itu yang sama sekali bukan berpunca daripada kesilapan FAM kerana jelas ia adalah kesilapan teknikal dilakukan oleh FCF.

 Namun memandangkan ia telah mendatangkan kerugian kepada FAM kerana skuad kebangsaan Malaysia sepatutnya boleh meraih mata dalam kiraan ranking FIFA hasil kemenangan ke atas New Caledonia itu, pihak persatuan akan membuat rayuan kepada FIFA untuk menimbang supaya perlawanan berkenaan dapat diiktiraf juga sebagai berstatus "A" dengan menyertakan dokumen sokongan bahawa kesilapan teknikal itu berpunca daripada tuan rumah, FCF.

 Pihak persatuan akan lebih tegas dan mengambil serius mengenai perkara ini supaya tidak terus menjadi mangsa kecuaian dan kelalaian pihak tuan rumah dalam soal teknikal jika beraksi perlawanan antarabangsa di tempat lawan pada masa akan datang.

 

DATO’ HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

JUMAAT, 1 JULAI 2016