LFK 2017: FELDA UNITED RAIH KEMENANGAN KETIGA BERTURUT, T-TEAM KEJUTKAN PAHANG

2017-02-18

Juara bertahan, Felda United terus kekal di tangga teratas kategori lelaki Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 7-6 ke atas KL Petaling Putra FC pada aksi hari pertama Sirkit 2 di Arena UPSI, Tanjung Malim, hari ini.

 Pada Sirkit 1 di gelanggang sama minggu lalu, skuad kendalian Addie Azwan Zainal itu berjaya meraih dua kemenangan berturut selepas menewaskan Kuala Lumpur TPD 10-2 dan T-Team 6-2.

 "Pemain nampak bergelut dengan prestasi sejak dari sesi latihan sepanjang minggu ini dan ia terbawa-bawa pula ke dalam perlawanan pada hari ini.

 "Selain itu, kemungkinan juga pasukan lawan tiada tekanan untuk berdepan Felda United kerana mereka tahu kekuatan kita dan itu yang memberikan mereka semangat jika dapat membolosi gawang kita.

 "Jadi saya anggap kami bernasib baik dapat meraih tiga mata penuh pada hari ini yang mana ia dibantu pengalaman dimiliki para pemain selepas lawan mula mendapat rentak jaringan.

 "Bagi kami pula, selepas mendahului 4-0, pemain nampak sudah begitu selesa dan perkara ini yang perlu diperbaiki pada dua perlawanan Sirkit 3 minggu depan apabila kita berdepan Pahang dan MBPP. Kami perlu lebih fokus," kata Addie Azwan ketika ditemui selepas perlawanan.

 Sementara itu, Pahang kendalian Yazeed Hamzah kekal di tangga kedua tetapi gagal merapatkan jurang mata dengan Felda United selepas dikejutkan dengan kekalahan 4-3 kepada T-Team yang berjaya mencatat kemenangan sulung.

 Melaka pula kekal di tangga ketiga dengan enam mata biarpun tidak beraksi hari ini.

 Selain T-Team, turut beroleh kemenangan pertama ialah Perak yang berjaya menewaskan KL City FC 5-3 manakala Kuala Lumpur TPD mencuri tumpuan apabila garang membelasah MBPP 11-0.

Sirkit 2 akan bersambung esok dengan empat lagi perlawanan bakal berlangsung menyaksikan Perak lwn Melaka (11 pagi), Pahang lwn KL Petaling Putra FC (12.30 tgh hari), Kuala Lumpur TPD lwn KL City FC (2 petang) dan MBPP lwn T-Team (3.30 petang).

 Kategori wanita yang berlangsung pada Sirkit 1, minggu lalu tidak dipertandingkan pada Sirkit 2, minggu ini dan hanya akan bersambung pada Sirkit 3, 25 dan 26 Februari ini.

 

KEPUTUSAN HARI PERTAMA SIRKIT 2

 

FELDA UNITED FC 7

Syed Aizad Daniel Syed Nasir 5' 22'

Ahmad Fawzul Hadzir 6'

Fitri Yatim 7'

Nurnaiim Abu Nangin 8'

Akmal Yazadh Amri 16'

Azwann Ismail 23'

KL PETALING PUTRA FC 6

Shah Azman Ekmal Saleh 14' 16'

Afiq Isri 17'

Amirul Sugito 29' 32'

Syurkery Mohamed 37'

 

PERAK 5

Faizul Azuan Ramli Sharip 19' 30'

Wan Norhisyam Wan Nasri 22'

Awalludin Mat Nawi 28'

Fairooz Amannijas 39'

KL CITY FC 3

K Yakish Rao 5'

A Kissheen 34'

Muzhaffar Tahar 39'

 

PAHANG 3

Ridzwan Bakri 13' 16'

Fariq Mohammad 39'

T-TEAM 4

Syed Shahrul Niezam Syed Abd Rahim 9' 17'

Ahmad Jazlan Jalil 10' 36'

 

KUALA LUMPUR TPD 11

Arif Johan Johari 4' 36'

Syazwie Shafee 8'

Zahrin Ismail 9' 23'

Al Haziq Adnan 10' 18'

Asadullah Nadzri 11'

Aliff Roslan 14' 26'

Aqim Salihuddin 32'

MBPP 0

 

* Langgan saluran rasmi youtube FAMTV bagi mengikuti video sedutan gol perlawanan LFK 2017: https://www.youtube.com/channel/UC20vnIGa_W4ofoLtKKzhvfA