LFK 2017: PAHANG RAMPAS TANGGA TERATAS, MELAKA KEKAL REKOD KEMENANGAN

2017-02-19

Pahang bangkit membelasah KL Petaling Putra FC 7-1 pada aksi Sirkit 2 di Arena UPSI, Tanjung Malim, hari ini untuk merampas kedudukan tangga teratas kategori lelaki Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 daripada juara bertahan, Felda United.

 Selepas kekalahan mengejut 4-3 kepada T-Team semalam, kemenangan ketiga Pahang itu membolehkan mereka memintas kedudukan Felda United menerusi kelebihan perbezaan gol biarpun kedua-dua pasukan kini terikat sembilan mata.

 Felda United bagaimanapun kurang satu perlawanan berbanding Pahang kerana skuad bimbingan Addie Azwan Zainal itu tidak beraksi hari ini selepas mereka mencatat kemenangan ketiga menewaskan KL Petaling Putra FC 7-6, semalam.

 "Alhamdulillah, pemain beraksi mengikut apa yang dirancang pada hari ini, tidak seperti semalam. Kekalahan kepada T-Team itu satu pengajaran supaya kita tidak memandang rendah pasukan lawan dan beraksi sambil lewa.

 "Apa pun saingan masih panjang, kami perlu harungi lagi 12 perlawanan. Macam-macam boleh berlaku, bola itu bulat. Yang penting, kami perlu konsisten dan minggu depan kami akan berdepan Felda United," kata jurulatih Pahang, Yazeed Hamzah.

 Melaka pula kekal di tangga ketiga, juga dengan sembilan mata selepas berjaya mengekalkan rekod kemenangan bersih dengan menewaskan Perak 6-2, hari ini selepas mereka tidak beraksi, semalam.

"Kami perlu hilangkan badi kerana sekali lagi kami bolos terlebih dahulu dan kemudian bangkit. Tapi corak permainan kami nampak semakin kemas. Harap kami dapat mempertingkatkan prestasi untuk terus mengutip mata penuh pada sirkit akan datang," kata jurulatih Melaka, I'sah Abd Rahim.

 Sementara itu, KL City FC berjaya memperoleh kemenangan sulung selepas tiga perlawanan apabila berjaya menewaskan Kuala Lumpur TPD 4-1 pada aksi yang cukup sengit sebelum skuad kendalian Jerry Dinesh Pireira itu akhirnya menjaringkan tiga gol pada lewat permainan.

 T-Team pula beroleh kemenangan kedua selepas berjaya menewaskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 9-7 pada aksi terakhir, hari ini.

 Hanya kategori lelaki berlangsung pada Sirkit 2, minggu ini.

 Seterusnya, Sirkit 3 yang melibatkan saingan kategori lelaki dan wanita akan berlangsung di Arena UPSI pada 25 dan 26 Februari ini.

 

KEPUTUSAN HARI KEDUA SIRKIT 2

 

PERAK 2

Awalludin Mat Nawi 13'

Azhar Che Rusli 27'

MELAKA 6

Yazid Kamaruzuan 15'

Ali Imran Hasan 17'

Khairul Effendy Bahrin 26'

Abu Haniffa Hasan 30' 34' 38'

 

PAHANG 7

Nazreen Saudi 17'

Fariq Mohammad 19'

Ridzwan Bakri 23'

Abdul Rahman Satuki 33' 38'

Shamsul Akmar Zamri 35' 36'

KL PETALING PUTRA FC 1

Azrin Hezry Zainol 4'

 

KUALA LUMPUR TPD 1

Asadullah Nadzri 17'

KL CITY FC 4

Hazizi Mansor 7'

Azrisham Mat Soom 38' 40'

K Yakish Rao 39'

 

MBPP 7

Zubaidi Alwee 10'

Ahmad Aznan Ahmad Zaki 13' 37'

Amirul Ismail 19'

Hidzir Hanifa 19'

Haziq Yusoff 24' 31'

T-TEAM FC 9

Ahmad Jazlan Jalil 5' 25'

Syed Shahrul Niezam Syed Abd Rahim 17'

Hafizi Ismail 18'

Zaid Mazalan 19' 24' 39'

Asyraf Mohd 21'

Hafiz Ismail 37'

 

* Langgan saluran rasmi youtube FAMTV bagi mengikuti video sedutan gol perlawanan LFK 2017: https://www.youtube.com/channel/UC20vnIGa_W4ofoLtKKzhvfA