MAJLIS UNDIAN PIALA PRESIDEN & PIALA BELIA 2019

2019-01-14

Majlis undian bagi pertandingan bola sepak B-21 kebangsaan, Piala Presiden dan pertandingan B-19 kebangsaan, Piala Belia 2019 telah berlangsung di TH Hotel Kelana Jaya semalam dengan dihadiri Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Abang Zulkarnain Abang Abdurahman dan Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd Azam Ismail.

Bagi saingan Piala Presiden tahun ini, Terengganu III selaku juara bertahan telah diundi dalam Kumpulan B bersama semifinalis musim lalu, Felda United FC serta 9 pasukan lain yang beraksi pada musim lalu - PDRM, Perak, PKNP FC, Kuala Lumpur, Melaka, Sarawak, PKNS FC, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Kumpulan A pula membariskan naib juara musim lalu, Kedah serta satu lagi semifinalis musim lalu, JDT III dan 9 pasukan lain – UiTM FC, Selangor, Pahang, Sabah, Perlis, Pulau Pinang, MISC-MIFA, Selangor United dan Armed Forces FC (nama baharu bagi ATM).

Bagi saingan Piala Belia 2019 pula, juara bertahan PKNS FC diundi dalam Kumpulan A bersama-sama dua pasukan baharu – Selangor United dan MISC-MIFA serta lapan pasukan lama musim lalu – Melaka, UiTM FC, Kuala Lumpur, PKNP FC, SSBJ B-17, Perlis, Kelantan dan Felda United FC.

Kumpulan B dibarisi naib juara musim lalu - Terengganu FC IV serta sembilan pasukan lama musim lalu – Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, JDT IV, Perak, Pahang, Sarawak dan Pulau Pinang.

Format pertandingan bagi Piala Presiden 2019 dan Piala Belia 2019 kekal seperti musim lalu iaitu dibahagikan kepada dua kumpulan dengan empat pasukan teratas setiap kumpulan (selepas mengharungi 20 perlawanan home & away) akan layak ke peringkat kalah mati - suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir.

Untuk makluman, perlawanan-perlawanan peringkat kalah mati bagi saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini - suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir akan diadakan secara timbal balik.