MIRI VENUE SAINGAN PIALA TUN SHARIFAH RODZIAH 2017

2017-03-08

 Sarawak julung kali bakal menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak wanita, Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) yang akan berlangsung di Miri bermula 6 April ini.  

 Ia disahkan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Brigadier Jeneral Dato’ Norhuda Ahmad  pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan PTSR 2017 di Hotel ParkCity Everly Miri, Sarawak, semalam.

 “Sejarah tercipta kerana ini adalah kali pertama PTSR dipertandingkan di luar Semenanjung Malaysia sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 1976 dan di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Persatuan Bola Sepak Sarawak yang sudi menyahut cabaran untuk menjadi tuan rumah.

“Saya harap kita dapat melihat pertandingan yang hebat dan meriah selain daripada mempromosikan bola sepak wanita tetapi juga mempromosikan Miri sebagai destinasi pelancong. Saya juga berterima kasih kerana pihak kerajaan Negeri Sarawak juga telah memberikan sokongan bagi menjayakan pertandingan ini,” katanya kepada pihak media.

 Sementara itu, Norhuda turut memaklumkan bahawa hanya tiga pemain skuad wanita Harimau Malaysia akan dibenarkan untuk beraksi bagi setiap pasukan yang bertanding pada kejohanan tahun ini.

 "Ini bermakna setiap negeri atau pasukan boleh mengimpot tiga pemain kebangsaan sedia ada sekarang dan selebihnya mencungkil bakat pemain-pemain bola sepak wanita setiap negeri. Kita berharap menerusi PTSR dan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) dapat mencungkil, mengasah bakat untuk diserapkan ke kem kebangsaan,” ujarnya lagi.

 Sebanyak 12 pasukan dijangka bertanding pada kejohanan yang akan berlangsung di tiga lokasi iaitu Stadium Terbuka Miri, Padang Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Padang Kelab Rekreasi dan Petroliam (KRP) Lutong.

 Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai RM 20,000, piala serta 25 pingat emas kepada juara, sementara naib juara (RM 10,000 dan 25 pingat perak) dan tempat ketiga (RM 5,000 dan 25 pingat gangsa).

 Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Kolonel Abdul Wahab Rahim dan Ketua Jabatan Bola Sepak Wanita FAM, Normala Abdul Rashid.

Jadual Penuh Pertandingan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2017