ONG KIM SWEE TANGGUH UMUM SENARAI PEMAIN HARIMAU MALAYSIA

2016-08-23

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan bahawa senarai rasmi pemain untuk panggilan skuad kebangsaan, Harimau Malaysia bagi kem latihan pusat bermula 29 Ogos ini hanya akan diumumkan pada Khamis ini (25 Ogos 2016).

 Kim Swee sepatutnya mengumumkan senarai pemain berkenaan pada hari ini (23 Ogos) tetapi membuat keputusan menangguhkannya ke Khamis ini kerana mahu membuat penilaian terakhir pada perlawanan ke-19 Liga Super 2016 yang akan berlangsung pada malam esok (24 Ogos).

 Berikut komen daripada Kim Swee berhubung keputusannya itu:

 "Senarai awal seramai 45 pemain dalam radar saya untuk dipanggil bagi kem latihan pusat skuad kebangsaan kali ini sebenarnya sudah pun dikenalpasti.

 "Namun saya terpaksa menangguhkan pengumuman senarai pemain untuk dipanggil ini sehingga selepas perlawanan Liga Super malam esok kerana terdapat satu atau dua posisi yang belum dapat saya muktamadkan.

 "Ini disebabkan saya perlu melakukan beberapa perubahan di kalangan pemain selepas empat pemain mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa manakala beberapa pemain lain daripada senarai terdahulu mengalami kecederaan."

 Panggilan skuad kebangsaan bermula Isnin ini ialah sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa "A" bertemu Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September 2016.