PERLAWANAN ANTARABANGSA "A": CHINESE TAIPEI 2-0 MALAYSIA

2018-09-08

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe gagal meneruskan rentak kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini apabila tewas 2-0 kepada Chinese Taipei pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Perbandaran Taipei, Taipei City, malam tadi.

Selepas membelasah Bhutan 7-0, April lalu dan menewaskan Fiji 1-0 pada Julai, kedua-duanya di gelanggang sendiri, skuad Harimau Malaya menampilkan tiga pemain dari skuad B-23 kebangsaan yang mara ke pusingan 16 terbaik Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan lalu - Irfan Zakaria, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Syahmi Safari dalam kesebelasan utama.

Namun keadaan padang yang bertakung akibat hujan sebelum perlawanan menyaksikan skuad Cheng Hoe tidak dapat mempamerkan corak permainan sebenar apabila pergerakan bola sering terganggu kerana beberapa bahagian padang masih ditakungi air.

Malaysia ketinggalan seawal minit ke-13 selepas hantaran cantik Li Mao berjaya melepasi kawalan barisan pertahanan dan biarpun percubaan awal Chen Hao-wei dapat dihadang, Wu Chun-ching berjaya menyudahkan peluang terbuka berikutan keadaan kelam kabut dalam kotak penalti untuk gol pertama Chinese Taipei.

Bersambung babak kedua, Chinese Taipei kendalian Gary White dari England terus selesa apabila memperoleh gol kedua menerusi penyudah kaki kiri Chu En-le pada minit ke-53 selepas menerima umpanan Mao yang berpunca daripada hantaran lintang Hao-wei dari sebelah kanan.

Peluang terbaik Malaysia untuk merapatkan kedudukan selepas itu hadir pada minit ke-64, namun percubaan pemain gantian, Akhyar Rashid yang berjaya mengatasi penjaga gol Chinese Taipei, Pan Wen-chieh bagaimanapun sekadar menggegar tiang gol.

Skuad Harimau Malaya terbang terus dari Taipei City ke Phnom Penh, hari ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa "A" berikutnya bertemu Kemboja di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh pada Isnin, 10 September 2018.

 

CHINESE TAIPEI: 1-Pan Wen-chieh (PG), 2-Wang Ruei, 3-Chen Ting-yang, 6-Chen Wei-chuan, 9-Li Mao (22-Chen Ching-hsuan 66'), 10-Chen Hao-wei (8-Will Donkin 70'), 11-Wu Chun-ching (15-Chen Yi-wei 78'), 12-Wen Chih-hao, 16-Wang Chien-ming (21-Chen Sheng-wei 87'), 17-Chen Po-liang (K), 20-Chu En-le (7-Yu Chia-huang 90'+1).

MALAYSIA: 1-Farizal Marlias (PG); 18-Mahalli Jasuli, 17-Irfan Zakaria, 3-Shahrul Saad, 5-Fazly Mazlan; 6-Nik Akif Syahiran Nik Mat (14-Nasir Basharudin 56'), 12-Akram Mahinan (13-Shahrel Fikri Md Fauzi 72'); 19-Syahmi Safari (7-Akhyar Rashid 56'), 10-Nazmi Faiz Mansor, 16-Syazwan Zainon (21-Syazwan Andik Ishak 84'); 8-Zaquan Adha Abd Radzak (K).

Pengadil: Murad Ahmad (Jordan)