PERLAWANAN ANTARABANGSA "A": MALAYSIA 0-1 REPUBLIK KYRGYZ

2018-10-17

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe tewas tipis 1-0 kepada pasukan di ranking ke-91 dunia, Republik Kyrgyz pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Biarpun skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe yang berkedudukan ranking ke-171 dunia lebih memiliki banyak peluang, jaringan tunggal pemain gantian, Bekzhan Sagynbaev  pada minit ke-68 memberikan kemenangan buat Republik Kyrgyz bimbingan Aleksandr Krestinin.

Cheng Hoe melakukan enam pertukaran berbanding kesebelasan ketika menewaskan Sri Lanka 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa terdahulu pada 12 Oktober dengan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang menjaringkan dua gol pada aksi di Colombo itu berada dalam senarai permulaan.

Malaysia nyaris membuka tirai jaringan pada minit ke-29, namun percubaan Norshahrul Idlan Talaha selepas hantaran lintang Syahmi Safari dari sebelah kanan sekadar menggegar palang gol tatkala penjaga gol Republik Kyrgyz, Pavel Matiash sudah pun tertewas.

Pada minit ke-43, Norshahrul sekali lagi terlepas peluang untuk mencetak gol, kali ini percubaannya di depan pintu gol selepas berjaya mengatasi dua pemain pertahanan Republik Kyrgyz dapat dikuis keluar oleh Matiash.

Bersambung babak kedua, gawang Malaysia terselamat pada minit ke-60 selepas penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat pantas menyelamatkan bola muntah selepas sepakan percuma Sherzot Shakirov sebelum sempat dirampas pemain lawan.

Namun Republik Kyrgyz akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-68 menerusi jaringan Sagynbaev yang tanpa dikawal melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi selepas percubaan awal rakan sepasukannya terbias kaki pemain pertahanan, Irfan Zakaria.

Peluang terakhir Malaysia untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan tidak berhasil apabila percubaan Akhyar Rashid selepas hantaran lintang Norshahrul dari sebelah kanan sekadar sipi ke kanan gawang pelawat.

Bagi perlawanan persahabatan antarabangsa "A" terakhir sebelum Piala Suzuki AFF 2018, Malaysia akan bertemu Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 3 November 2018.

 

MALAYSIA: 22. Khairul Fahmi Che Mat (GK); 19. Syahmi Safari, 17. Irfan Zakaria, 3. Shahrul Saad, 21. Syazwan Andik Ishak; 15. Kenny Pallraj (5. Adam Nor Azlin 72'), 14. Syamer Kutty Abba; 11. Mohamadou Sumareh, 9. Norshahrul Idlan Talaha, 16. Syazwan Zainon (7. Akhyar Rashid 56'); 8. Zaquan Adha Abd Radzak (C) (6. Nik Akif Syahiran Nik Mat 83').

REPUBLIK KYRGYZ: 1. Pavel Matiash (GK), 2. Mustafa Iusupov, 3. Tamirlan Kozubaev, 6. Sherzot Shakirov, 9. Edgar Bernhardt (C) (8. Odilzhon Abdurakhmanov 82'), 10. Ernist Batyrkanov (23. Aizar Akmatov 86'), 15. Murolimzhon Akhmedov (21. Farhat Musabekov 46'), 17. Daniel Tagoe, 18. Kairat Zhyrgalbek Uulu (12. Avazbek Otkeev 90'+3), 20. Bakhtiyar Duyshobekov, 22. Akhlidin Israilov (11. Bekzhan Sagynbaev 63').

Pengadil: Suhaizi Shukri