PERLAWANAN ANTARABANGSA "A": SRI LANKA 1 MALAYSIA 4

2018-10-13

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bangkit daripada ketinggalan satu gol pada babak pertama untuk berjaya mencatat kemenangan kedua berturut di gelanggang lawan selepas menewaskan Sri Lanka 4-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Sugathadasa, Colombo, malam tadi.

Sri Lanka di ranking ke-199 dunia bagaimanapun lebih awal mengejutkan Harimau Malaya selepas skuad bimbingan Nizam Packeer Ali itu berjaya memperoleh gol pertama menerusi jaringan Asela Madushan pada minit ke-29 untuk tuan rumah mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Namun skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-65 selepas Norshahrul Idlan Talaha mudah menolak bola masuk berpunca daripada kesilapan penjaga gol Sri Lanka, Sujan Perera yang gagal menangkap kemas bola hantaran lintang Matthew Davies.

Malaysia kemudian mendahului 2-1 pada minit ke-76 selepas pemain pertahanan, Adam Nor Azlin berjaya menanduk masuk bola sepakan penjuru Syazwan Andik Ishak.

Menuju penghujung permainan, Malaysia berjaya menambah dua lagi jaringan pada minit ke-85 dan ke-91, kedua-duanya menerusi pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya selepas dimasukkan pada babak kedua untuk kemenangan mutlak 4-1.

Skuad Harimau Malaya yang kini di ranking ke-171 dunia selepas ini akan bertemu pula pasukan di ranking ke-91 dunia, Republik Kyrgyz pada aksi persahabatan antarabangsa seterusnya di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Selasa ini, 16 Oktober 2018.

 

SRI LANKA: 25. Sujan Perera (PG); 24. Charith Ratnayake, 3. Anuradha Warakagoda, 4. Duckson Puslas, 2. Subash Madushan (K); 9. Kavindu Ishan, 8. Ashikur Rahman, 19. Mohamed Afeel, 20. Sajith Mendis (11. Dilan De Silva 45’) (17. Sasanga Jayasekara 68’); 14. Mohamed Fazal, 21. Asela Madushan (18. Mohamed Rifkhan 82’).

MALAYSIA: 23. Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (PG) (22. Khairul Fahmi Che Mat (PG) 74’); 2. Matthew Davies, 17. Irfan Zakaria, 5. Adam Nor Azlin, 4. Fazly Mazlan (21. Syazwan Andik Ishak 64’); 18. Mahalli Jasuli (15. Kenny Pallraj 46’), 14. Syamer Kutty Abba; 10. Shahrel Fikri Md Fauzi (11. Mohamadou Sumareh 46’), 9. Norshahrul Idlan Talaha (6. Nik Akif Syahiran Nik Mat 81’), 16. Syazwan Zainon (7. Akhyar Rashid 64’), 8. Zaquan Adha Abd Radzak (K).

 

KREDIT FOTO: FFSL