PERLAWANAN ANTARABANGSA: CHINA B-23 2-1 MALAYSIA B-23

2018-08-06

Skuad B-23 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 2-1 kepada China B-23 pada perlawanan persahabatan antarabangsa pertama mereka sebagai persiapan menjelang Sukan Asia 2018 Indonesia di Stadium Changzhou Olympic Sports Centre, Changzhou, China, malam tadi.

Selepas dikumpulkan kali terakhir ketika Malaysia berjaya mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Kunshan, China pada Januari lalu, skuad Kim Swee itu kembali dihimpun untuk kem latihan pusat bermula 30 Julai lalu.

Kim Swee membariskan dua pemain senior dari Kedah, Baddrol Bakhtiar, 30, selaku kapten untuk mengemudi jentera tengah dan Rizal Ghazali, 26, di posisi sayap kanan bagi mengisi dua daripada tiga kuota pemain lebih umur Sukan Asia 2018 sementara jurulatih China, Massimiliano Maddaloni dari Itali mempertaruhkan kesemua pemain berusia bawah 23 tahun.

Seawal minit keempat, kelekaan pemain pertahanan, Irfan Zakaria yang kehilangan bola di kawasan tengah hampir dihukum tetapi percubaan Wei Shihao berjaya dihadang dengan baik oleh penjaga gol negara, Haziq Nadzli.

Baddrol kemudian cuba menguji gawang China tetapi sepakan lencongnya dari luar kotak penalti pada minit ke-12 sedikit tinggi melewati palang.

Malaysia berjaya mengejutkan China menerusi gol pertama pada minit ke-14 selepas Akhyar Rashid yang menerima lorongan bola Baddrol dari tengah terus melakukan rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti yang mengelirukan penjaga gol tuan rumah, Chen Wei.

Malaysia terlepas peluang menambah jaringan pada minit ke-27 apabila tandukan Safawi Rashid di depan pintu gol selepas menerima hantaran lintang Akhyar dari sebelah kiri sedikit tinggi melewati palang gol.

Seminit kemudian, giliran China mendapat peluang terbaik, namun tandukan pemain pertahanan, Liu Yang selepas sepakan percuma berjaya ditepis keluar oleh Haziq.

China akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-38 menerusi sepakan penalti Zhang Yuning selepas Haziq menjatuhkan pemain pertahanan kanan, Deng Hanwen di penjuru kotak penaltinya.

Bersambung babak kedua, China berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-53 menerusi Chen Zhechao selepas percubaan kaki kirinya dari luar kotak penalti terbias kaki Irfan dan mengelirukan Haziq untuk tuan rumah mendahului 2-1.

Pada minit ke-70, Malaysia terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan selepas percubaan depan gol pemain gantian, Faisal Abdul Halim hasil hantaran seorang lagi pemain gantian, Kogileswaran Raj dari sebelah kiri sedikit tersasar.

Skuad B-23 kebangsaan akan pulang ke tanah air pada Selasa, 7 Ogos untuk menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Indonesia bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2018 yang bakal bermula pada 15 Ogos ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Republik Korea, Republik Kyrgyz dan Bahrain.

 

CHINA B-23: 1-Chen Wei (GK); 28-Deng Hanwen (22-Xu Yougang 71'), 3-Liu Yiming, 4-Liu Yang, 16-Li Hailong (2-Hu Ruibao 82'); 10-Tang Shi (11-Chen Binbin 58'), 17-He Chao (C) (19-Zhang Yuan 71'), 27-Chen Zhechao (15-Ba Dun 82'), 7-Wei Shihao (13-Huang Zichang 58'); 20-Cao Yongjing (6-Yao Junsheng 58'), 9-Zhang Yuning (8-Feng Boyuan 71').

MALAYSIA B-23: 1-Haziq Nadzli (GK); 14-Dominic Tan (3-Syazwan Zaipol Bahari 76'), 17-Irfan Zakaria, 9-Adam Nor Azlin; 15-Rizal Ghazali, 7-Baddrol Bakhtiar (C), 8-Nik Akif Syahiran Nik Mat (5-Syahmi Safari 61'), 21-Syazwan Andik Ishak; 11-Safawi Rasid (13-Tommy Mawat Bada 61'), 20-Syafiq Ahmad (19-Kogileswaran Raj 61'), 18-Akhyar Rashid (6-Faisal Abdul Halim 61').

Pengadil: Ai Kun (China)

 

KREDIT FOTO: Chinese Football Association