PERSAHABATAN: INDONESIA 3 MALAYSIA 0

2016-09-07

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 3-0 kepada Indonesia pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Manahan, Solo, malam tadi.

 Kesilapan pemain pertahanan, Fadhli Shas membolehkan kapten Indonesia, Boaz Salossa melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi Che Mat seawal minit ketujuh untuk gol pertama Indonesia.

 Empat minit berselang, Indonesia berjaya menambah jaringan kedua menerusi Irfan Bachdim selepas kesilapan pemain tengah Malaysia, Brendan Gan yang kehilangan bola.

 Malaysia terus tertekan apabila Indonesia kendalian Alfred Riedl berjaya memperoleh gol ketiga pada minit ke-22 menerusi jaringan kedua peribadi Boaz yang menyudahkan peluang dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol.

 Usaha Malaysia untuk memecah kebuntuan bagi merapatkan kedudukan terus gagal biarpun beroleh beberapa peluang terbaik dan kedudukan 3-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

 Malaysia kini di ranking ke-167 dunia manakala Indonesia yang kembali beraksi di pentas antarabangsa buat kali pertama selepas penggantungan di ranking ke-191.

 Bagi perlawanan persahabatan antarabangsa seterusnya, Malaysia akan menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapura pada 7 Oktober ini diikuti pertemuan dengan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.

 

INDONESIA: 22-Andritany Ardhiyasa, 2-Benny Wahyudi (25-Indra Kahfi Ardhiyasa 84'), 13-Rodolof Yanto Basna (5-Dedi Gusmawan 73'), 16-Fachrudin Wahyudi Aryanto, 4-Abdul Rachman (3-Muhammad Abduh Lestaluhu 63'), 21-Andik Vermansah, 19-Bayu Pradana Andriatmo, 6-Evan Dimas Darmono, 10-Zulham Malik Zamrun (8-Irsyad Maulana 46'), 17-Irfan Bachdim (24-Ichsan Kurniawan 71'), 7-Boaz Salossa (C) (9-Lerby Eliandry Pong Babu 46').

MALAYSIA: 22-Khairul Fahmi Che Mat, 2-Matthew Davies, 5-Ronny Harun, 4-Fadhli Shas (6-Shahrul Saad 58'), 20-Azrif Nasulhaq Badrul Hisham, 18-Wan Zack Haikal Wan Nor (14-Ahmad Fakri Saarani 86'), 3-Brendan Gan (19-S Veenod 16'), 11-Baddrol Bakhtiar, 7-Irfan Fazail (12-Ahmad Hazwan Bakri 58'), 21-Safawi Rasid (8-Zaquan Adha Abd Radzak 58'), 17-Amri Yahyah (C) (16-Fakrul Aiman Sidid 78').

Pengadil: Muhammad Taqi Aljaafari Jahari (Singapura)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Satu perlawanan yang amat sukar terutama apabila kita boleh dikatakan melakukan kesilapan sendiri pada gol pertama dan kedua, di mana ini memberi satu situasi yang agak sukar untuk kita kembali.

 "Seperti mana yang kita tahu, perlawanan terakhir antarabangsa kita dengan Timor-Leste dan kita layak. Daripada pemain itu, seramai lapan pemain tidak bersama kita dan ini sudah tentu agak menyukarkan untuk kita membentuk satu pasukan buat masa ini.

 "Tapi kesilapan yang dilakukan terutama dua gol pertama, itu tak sepatutnya berlaku di peringkat tertinggi.

 "Saya tak pasti lagi, beberapa pemain tidak begitu selesa dengan keadaan selepas kita makan tengah hari di mana beberapa pemain rasa sakit perut, mengalami kekejangan. Jadi saya harus lihat dulu dan berjumpa dengan doktor untuk memastikan apa masalah pemain ini.

 "Pertahanan merupakan satu kelemahan kita, seperti mana yang saya katakan sebelum kita datang, bahagian ini cukup penting dan selepas kita lawan Timor-Leste, saya menukar kesemua barisan pertahanan kita dan ini memerlukan banyak masa untuk kita perbaiki.

 "Kita bermain baik terutamanya di separuh masa kedua. Tapi peluang-peluang yang kita dapat, tidak dapat disempurnakan. Ini salah satu lagi faktor di mana penyudah tidak begitu baik dan Hazwan Bakri belum begitu pulih. Kita perlu perbaiki lagi.

 "Kita tahu yang pasukan Indonesia seperti pasukan yang menyimpan begitu lama kekuatan mereka di mana ini kali pertama mereka beraksi dan saya faham juga mereka ingin buktikan sesuatu. Hari ini terbukti pasukan Indonesia lebih baik daripada pasukan Malaysia."

 "Untuk pasukan Malaysia, belum ada keserasian lagi. Ini pasukan yang baru di mana saya buat 14 pertukaran daripada pasukan yang lepas dan ini memerlukan masa yang cukup panjang. Tapi seperti yang saya katakan, gol pertama dan kedua tidak harus berlaku.

 "Secara jujur pemain-pemain yang dah bersara dan beberapa pemain yang mengalami kecederaan merupakan nadi pasukan kita. Jika mereka kembali, sudah tentu akan lebih baik kepada pasukan kita. Tapi pada masa sama, saya perlu memikirkan pemain sedia ada di mana saya tak boleh mengharapkan pemain-pemain yang sudah bersara untuk kembali."