PERSAHABATAN: MALAYSIA 1 AFGHANISTAN 1

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee mengikat pasukan di ranking ke-149 dunia, Afghanistan 1-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Shah Alam, malam tadi.

 Ketinggalan menerusi jaringan Noarollah Amiri pada minit ke-22, skuad Harimau Malaysia yang kini berada di ranking ke-158 dunia berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama hasil tandukan pemain sayap gantian, Hadin Azman.

 Terdahulu pada aksi malam tadi, Kim Swee hanya mengekalkan tiga pemain yang berada dalam kesebelasan utama ketika seri 0-0 dengan Singapura di Stadium Nasional, Singapura pada Jumaat lalu (7 Oktober) iaitu Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim dan Baddrol Bakhtiar.

 Lima pemain yang beraksi ketika berdepan Singapura - penjaga gol Khairulazhan Khalid, Khairul Helmi Johari, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Safawi Rasid dan Darren Lok tidak disenaraikan Kim Swee bagi memberi ruang kepada lima pemain yang tidak dibawa ke Singapura - Khairul Fahmi Che Mat, Ronny Harun, Matthew Davies, Ahmad Khuzaimi Piee dan Nasir Basharudin berada dalam senarai 25 pemain bagi perlawanan ini.

 Baddrol diberikan lilitan lengan selepas kapten, Amri Yahyah diletakkan di bangku simpanan dan hanya selepas 19 minit permainan, Kim Swee terpaksa melakukan pertukaran awal dengan membawa masuk Hadin bagi menggantikan Syazwan Zainon yang mengalami kecederaan bahu.

 Gawang negara kemudian dibolosi Aghanistan kendalian Petar Segrt pada minit ke-22 selepas sepakan lencong Noarollah dari luar kotak penalti menuju tepat ke penjuru kiri tanpa mampu diselamatkan Khairul Fahmi.

 Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia berusaha menguji kubu Afghanistan dengan menyaksikan tandukan Shahrul selepas sepakan percuma Baddrol pada minit ke-33 tersasar melewati palang gol disusuli sepakan percuma Baddrol pada minit ke-42 yang berjaya ditangkap kemas penjaga gol lawan, Ovays Azizi.

 Akhirnya gol penyamaan yang dicari Malaysia berjaya terhasil pada masa kecederaan babak pertama selepas hantaran Matthew dari sebelah kanan berjaya ditanduk kemas Hadin untuk menewaskan Ovays bagi menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat 1-1.

 Bersambung babak kedua, Kim Swee melakukan pertukaran kedua dengan memasukkan Zaquan Adha Abd Radzak menggantikan Fazrul Hazli Kadri bagi menajamkan bahagian sayap kanan.

 Pada minit ke-55, Norshahrul Idlan Talaha ditolak pertahanan Afghanistan, Arash Hatifie tetapi pengadil dari Thailand, Mongkolchai Pechsri tidak melayan tuntutan penyerang kebangsaan itu untuk mendapatkan sepakan penalti.

 Peluang terbaik Malaysia untuk beroleh gol kemenangan hadir pada minit ke-79 tetapi percubaan Baddrol di depan pintu gol lawan berjaya diselamatkan penjaga gol Afghanistan bagi mengekalkan kedudukan 1-1 itu sehingga wisel penamat.

 

MALAYSIA: 22-Khairul Fahmi Che Mat, 24-Matthew Davies, 5-Shahrom Kalam, 4-Fadhli Shas (20-Ronny Harun 83'), 21-Nazirul Naim Che Hashim (25-Ahmad Khuzaimi Piee 68'), 6-Fazrul Hazli Kadri (8-Zaquan Adha Abd Radzak 46'), 3-Shahrul Saad, 11-Baddrol Bakhtiar (C), 14-Ahmad Fakri Saarani (18-Ahmad Hazwan Bakri 63'), 10-Syazwan Zainon (23-Hadin Azman 19'), 9-Norshahrul Idlan Talaha (16-Fakrul Aiman Sidid 75').

AFGHANISTAN: 1-Ovays Azizi, 14-Modjieb Jamali, 18-Arash Hatifie, 5-Masih Saighani, 3-Hassan Amin, 7-Zubayr Amiri, (20-Edriss Hushmand 90+1'), 21-Kanischka Taher, 2-Abassin Alikhil, 11-Noarollah Amiri, (19-Omid Popalzay 68'), 9-Noor Zadran, (17-Qesmat Ahmadi 90+1'), 10-Faysal Shayesteh (C), (15-Fardin Hakimi 90+4').

Pengadil: Mongkolchai Pechsri (Thailand)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Pada 25 minit pertama permainan, kami terlalu ke bawah dan itu menyebabkan Afghanistan mendapat lebih ruang untuk menggerakkan bola.

 "Tapi secara keseluruhan, barisan pertahanan kita nampak lebih baik sekarang apabila boleh dilihat Afghanistan kurang dapat melakukan percubaan selepas itu kecuali gol yang dijaringkan mereka pada minit ke-22.

 "(Selain Shahrul, Nazirul dan Baddrol), lapan pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama malam ini, mereka faham apa yang perlu dilakukan terutama mengetahui sistem kita dan ini yang penting.

 "Sebelum perlawanan, saya sudah beritahu yang saya perlu melihat kepada beberapa aspek iaitu keputusan perlawanan dan juga memberi peluang kepada pemain.

 "Sedikit kecewa kerana saya tidak sempat menurunkan beberapa pemain lain sebab saya tahu mereka semua mahu diturunkan. Harap selepas ini saya dapat kenalpasti 25 pemain yang akan dipanggil untuk kem latihan fasa terakhir bermula 25 Oktober ini.

 "Sudah tentu jentera serangan agak merisaukan apabila hanya satu gol berjaya dihasilkan pada tiga perlawanan terakhir (bertemu Indonesia, Singapura dan Afghanistan). Tapi yang penting kita tak tewas pada dua perlawanan terakhir ini.

 "Seperti yang saya katakan, kem latihan kali ini lebih tertumpu kepada bahagian pertahanan dan selepas ini sudah tentu banyak lagi perkara yang perlu saya lakukan terutama dari segi menyerang dan saya percaya apabila kita kembali untuk kem latihan fasa terakhir nanti, banyak latihan dari segi corak serangan akan dapat kita lakukan."