PERSAHABATAN: SKUAD FUTSAL B-20 KEBANGSAAN BENAM PAHANG 4-1

2017-05-02

Skuad futsal B-20 kebangsaan kendalian jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong berjaya menewaskan pasukan Liga Futsal Kebangsaan (LFK), Pahang 4-1 pada perlawanan persahabatan di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, petang tadi.

 Dua gol skuad B-20 kebangsaan telah dijaringkan oleh Aidil Shahril Rosli sementara masing-masing satu gol menerusi Iskandar Harun dan Ahmad Harith Naim Mohd Nasir.

 Perlawanan ini sebahagian persiapan skuad B-20 kebangsaan menjelang Kejuaraan Futsal B-20 AFC 2017 di Bangkok, Thailand dari 16 hingga 26 Mei ini yang menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Thailand, Afghanistan, Bahrain, Iraq dan Brunei.

 

SENARAI 19 PEMAIN SKUAD FUTSAL B-20 KEBANGSAAN: Nurasyraaf Azle, Farid Lokman, Farhan Khairul Anuar, Aiman Fikri Ramli (Kuala Lumpur), Awalludin Mat Nawi, Farikh Khabibor Rahman, Umarul Hakimi Nasarudin, Nur Hazim Suleiman (Perak), Fadilah Raj Kafor, Affiq Miswan (KL City FC), Amirul Sugito, Shah Azman Ekmal Saleh (KL Petaling Putra FC), Iskandar Harun (Sarawak), Syahril Ezuwan Sadre (Selangor), Saad Sani (Melaka), Aidil Shahril Rosli (Felda United), Mulhim Muqri Faisal (PBMM), Ahmad Harith Naim Nasir (Kuantan Rangers), Fakhrul Islam Anizam (Politeknik Shah Alam).

 

KOMEN JURULATIH SKUAD FUTSAL B-20 MALAYSIA, CHIEW CHUN YONG

"Jika berdasarkan tempoh latihan yang singkat bermula Rabu lalu dan tanpa sebarang liga kompetitif buat para pemain B-20, nampak peningkatan positif ditampilkan mereka pada perlawanan ini. Namun banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki untuk menghadapi perlawanan antarabangsa.

 "Mereka beraksi mengikut perancangan tetapi kurang konsisten ketika menggerakkan bola untuk memecah pertahanan lawan. Tapi saya tidak mahu terlalu cepat meminta mereka untuk mencapai tahap mana yang saya kehendaki kerana saya perlu berhati-hati dalam meningkatkan momentum permainan mereka dengan cara yang betul.

 "Apa pun saya gembira kerana mereka memahami strategi yang mahu saya terapkan, menunjukkan mentaliti permainan yang baik serta tahap fokus yang cukup positif pada kedua-dua babak permainan. Perkembangan ditunjukkan cukup positif tetapi perjalanan masih jauh.

 "Mereka kini perlu mula bermain mengikut keperluan peringkat antarabangsa. Sudah tentu kejohanan di Bangkok nanti adalah platform terbaik untuk menilai tahap pasukan futsal muda kita berbanding negara membangun lain yang mempunyai liga futsal peringkat remaja yang lebih baik.

 "Sebagai jurulatih kebangsaan, saya turut berharap kita akan mempunyai liga domestik yang lebih baik di peringkat senior dan remaja selepas ini."