PERSAHABATAN: SKUAD FUTSAL B-20 KEBANGSAAN TEWAS 6-4 KEPADA PENDAHULU LFK 2017, MELAKA

2017-05-05

Skuad futsal B-20 kebangsaan kendalian jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong tewas 6-4 kepada pendahulu Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017, Melaka pada perlawanan persahabatan di Kompleks Sukan Komuniti Krubong, Melaka, malam tadi.

 Empat gol skuad B-20 kebangsaan telah dijaringkan oleh Aidil Shahril Rosli (2 gol), Awalludin Mat Nawi dan Saad Sani.

 Ini merupakan aksi persahabatan kedua mereka selepas menewaskan Pahang 4-1 di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Selasa lalu (2 Mei) sebagai persiapan menjelang Kejuaraan Futsal B-20 AFC 2017 di Bangkok, Thailand dari 16 hingga 26 Mei ini.

 Pada kejohanan itu nanti Malaysia akan bertemu tuan rumah Thailand pada 16 Mei diikuti Afghanistan (17 Mei), Bahrain (18 Mei), Iraq (19 Mei) dan Brunei (20 Mei) untuk lima aksi Kumpulan A di Bangkok Arena.

 Dua pasukan teratas kumpulan akan meneruskan cabaran bagi saingan kalah mati dengan aksi suku akhir pada 22 Mei, separuh akhir pada 24 Mei dan final pada 26 Mei.

 

SENARAI 19 PEMAIN SKUAD FUTSAL B-20 KEBANGSAAN: Nurasyraaf Azle, Farid Lokman, Farhan Khairul Anuar, Aiman Fikri Ramli (Kuala Lumpur), Awalludin Mat Nawi, Farikh Khabibor Rahman, Umarul Hakimi Nasarudin, Nur Hazim Suleiman (Perak), Fadilah Raj Kafor, Affiq Miswan (KL City FC), Amirul Sugito, Shah Azman Ekmal Saleh (KL Petaling Putra FC), Iskandar Harun (Sarawak), Syahril Ezuwan Sadre (Selangor), Saad Sani (Melaka), Aidil Shahril Rosli (Felda United), Mulhim Muqri Faisal (PBMM), Ahmad Harith Naim Nasir (Kuantan Rangers), Fakhrul Islam Anizam (Politeknik Shah Alam).

 

KOMEN JURULATIH SKUAD FUTSAL B-20 MALAYSIA, CHIEW CHUN YONG

"Para pemain beraksi cukup baik pada separuh masa pertama apabila kami berjaya mendahului Melaka 2-0 pada 15 minit pertama permainan menerusi corak permainan agresif.

 "Namun sedikit kesilapan membenarkan lawan merapatkan kedudukan penghujung babak pertama dan seterusnya pada separuh masa kedua, para pemain sedikit kurang fokus sehingga membenarkan lawan memperoleh jaringan.

 "Tapi dari sudut positif, para pemain telah menunjukkan karakter yang baik untuk terus mencari gol dan sikap tidak berputus asa itu yang membuatkan saya berasa bangga.

 "Ia satu perlawanan yang baik buat para pemain muda ini untuk bersaing dengan lawan yang dibarisi ramai pemain berpengalaman dari skuad senior kebangsaan.

 "Nyata kami memerlukan lebih aksi persahabatan yang kompetitif seperti ini supaya para pemain dapat membiasakan diri dengan apa juga corak taktikal, strategi dan set-pieces.

 "Saya percaya dari satu perlawanan ke satu perlawanan, mereka akan lebih baik dan saya cuba mendapatkan lagi aksi persahabatan dengan pasukan-pasukan senior untuk mengenalpasti kelemahan dan pada masa sama mencuba sistem dan taktikal permainan sebelum kami ke Bangkok."