PIALA BELIA 2017: KEDAH, NEGERI SEMBILAN AMBIL ALIH TERAJU KUMPULAN

2017-03-06

Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing berjaya meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan kedua Piala Belia 2017, petang semalam untuk kedua-dua pasukan bergelar pendahulu baharu bagi Kumpulan A dan B.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kedah kendalian Mohamad Ramlee yang mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di tempat lawan minggu lalu berjaya menewaskan pendahulu minggu pertama, Kelantan 3-0 di Stadium Mini UUM, Sintok untuk menolak Kelantan turun ke tangga kelima.

 Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 kendalian P Somasundram kekal di tangga kedua dengan turut meraih kemenangan kedua menewaskan Terengganu 2-1 di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak tetapi dipisahkan perbezaan gol dengan Kedah.

 Johor Darul Ta'zim IV yang dibimbing ISZ Mohd Shahrom Idris pula naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga apabila meraih kemenangan sulung menewaskan Pahang 2-0 di Padang Majlis Daerah Pekan selepas diikat PKNS FC 0-0 di Kelana Jaya minggu lalu.

 Sarawak di bawah kendalian Safri Amit yang diikat Terengganu 0-0 di laman sendiri minggu lalu turut berjaya meraih kemenangan sulung menewaskan PKNS FC 1-0 di Padang PKNS, Kelana Jaya untuk naik dua anak tangga ke kedudukan keempat.

 Satu lagi perlawanan menyaksikan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B-17 seri 1-1 dengan Pulau Pinang di Stadium Juara SSTMI, Bandar Penawar untuk masing-masing meraih mata pertama.

 Bagi saingan Kumpulan B pula, Negeri Sembilan kendalian Syafiq Jonny Abdullah yang menewaskan Selangor 3-1 di Shah Alam minggu lalu meneruskan rentak cemerlang dengan mudah menundukkan Perlis 3-0 di Padang Merdeka, Port Dickson.

 SSTMI B-16 bimbingan Dato' Richard Scully turun ke tangga kedua menerusi perbezaan jumlah gol dengan Negeri Sembilan meskipun mereka turut berjaya meraih kemenangan kedua dengan menewaskan Perak 1-0 di Stadium Mini UPSI, Tanjung Malim.

 Sabah kekal di tangga ketiga biarpun tewas 2-1 kepada Selangor di Stadium Penampang, Kota Kinabalu untuk pelawat meraih kemenangan sulung dan berada di tangga keenam.

 Kuala Lumpur kendalian Suhaimi Ismail yang tidak beraksi minggu lalu berjaya meraih kemenangan pada penampilan sulung mereka selepas menewaskan Melaka 1-0 di Stadium Mini UTeM, Ayer Keroh untuk menduduki tangga kelima di belakang Perak.

 Felda United tidak beraksi minggu ini selepas tewas 3-1 kepada Sabah minggu lalu.

 Hari perlawanan ketiga saingan Piala Belia 2017 bakal berlangsung Rabu ini, 8 Mac.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM:

 

KUMPULAN A

 

KEDAH 3

Akmal Azmi 18' 26'

Muhammad Farez Aiman Marzuki 80'

KELANTAN 0

 

SSTMI (B-17) 1

Muhammad Ramadhan Saifullah Usman 7'

PULAU PINANG 1

Athari Aqil Maktar 62'

 

PAHANG 0

JDT IV 2

Nazrin Aiman Azmi 45+3'

Muhammad Yusof Abdullah 62'

 

PKNS FC 0

SARAWAK 1

Hendry Amir Simon 82'

 

TERENGGANU 1

Amirul Syazwan Nor Azmi 66'

SSMP 2

Arif Shaqirin Suhaimi 45+2'

Muhammad Alif Safwan Sallahuddin 82'

 

KUMPULAN B

 

SABAH 1

Mohd Iqhbal Kassim 71'

SELANGOR 2

Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan 11'

Muhamad Aiman Firdaus Ahmad Azahar 39'

 

NEGERI SEMBILAN 3

Mohamad Haziq Fikri Haszaime 48' 78' 84' (P)

PERLIS 0

 

PERAK 0

SSTMI (B-16) 1

Muhammad Hazim Abu Zaid 62'

 

MELAKA 0

KUALA LUMPUR 1

Muhammad Amirul Nizam Mohd Azmi 43'