PIALA BELIA 2017: SSMP B-17 MENANG BERGAYA, KEDAH CIPTA KEBANGKITAN UNTUK MELANGKAH KE PENTAS FINAL

2017-10-06

Juara dan naib juara Kumpulan A, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 dan Kedah menempah pertembungan final Piala Belia 2017 selepas menyingkirkan lawan masing-masing, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B-17 dan Terengganu pada aksi separuh akhir kedua, petang semalam.

 Di Stadium Mini SSMP, Gambang, SSMP B-17 kendalian P Somasundram yang menang 2-0 pada aksi pertama di Bandar Penawar, Sabtu lalu (30 September) terus garang apabila kali ini mudah membenam SSTMI B-17 bimbingan M Kaviarasu dengan jaringan 5-0 untuk melangkah bergaya ke final menerusi agregat 7-0.

 Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kedah kendalian Mohamad Ramlee yang tewas 1-0 kepada Terengganu pada aksi pertama di Sintok bangkit menewaskan pasukan tuan rumah bimbingan Subri Sulong dengan jaringan 3-2 untuk mara menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas agregat terikat 3-3.

 Final pertama akan berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam pada Rabu ini (11 Oktober), jam 8.45 malam dengan SSMP B-17 bertindak sebagai tuan rumah sementara aksi timbal balik final kedua akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Isnin, 16 Oktober, jam 8.45 malam.

 Musim lalu, SSMP B-17 (yang ketika itu menggunakan nama SSMP B-16) kandas pada suku akhir sementara Kedah pula kandas pada separuh akhir dengan menyaksikan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 kendalian Reduan Abdullah muncul juara selepas menewaskan Selangor pada aksi final.

 SSBJ B-17 tidak menyertai pertandingan musim ini sementara Selangor disingkirkan SSMP B-17 pada suku akhir.

 

KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR 2

KHAMIS, 5 OKTOBER 2017

 

SSMP (B-17) 5

Noramirul Awang 10' Ahmad Idham Ahmad Nizam-GS 36' Nizaruddin Jazi 45' 46' Ikwan Yazek 90'

SSTMI (B-17) 0

* SSMP B-17 menang agregat 7-0

 

TERENGGANU 2

Syaiful Hakim Shahrul 27'-P Abdul Halim Hamzah 66'

KEDAH 3

Amirul Azman 13' 41' Asnawi Sonkurnain 16'

* Kedah menang gol tempat lawan, agregat 3-3