PIALA BELIA: SABAH, SSMP B-16 HIMPIT KEDAH, FELDA UNITED

2016-04-25

Pendahulu kumpulan, Kedah dan Felda United tercicir mata pada perlawanan kesembilan Piala Belia 2016, petang semalam, sekali gus membolehkan pencabar terdekat kedua-dua kumpulan, Sabah dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-16 merapatkan jurang mata.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kedah kendalian Roshidi Shaari gagal meneruskan rekod tanpa kalah mereka pada perlawanan terakhir pusingan pertama itu selepas tewas 3-2 kepada Perak di Stadium Mini Jitra untuk kekal di tangga teratas dengan 22 mata.

 Kekalahan Kedah itu menyaksikan Sabah bimbingan Jelius Ating kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Kedah dengan mengumpul 21 mata selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang di Stadium Penampang, Kota Kinabalu.

 Juara bertahan, Selangor kendalian Noor Zaidi Rohmat pula kekal di tangga ketiga selepas mudah menundukkan Negeri Sembilan 3-0 di Padang SUK, Shah Alam untuk mengumpul 17 mata tetapi kekurangan satu perlawanan dan akan berdepan pasukan tercorot, Perlis di laman sendiri, Rabu ini.

 Pulau Pinang naik satu anak tangga ke kedudukan kelima selepas garang membelasah Perlis 6-0 di Padang A, USM manakala pasukan tangga ketujuh, SSMP B-17 kendalian Khalid Shahdan berjaya menewaskan Sarawak 2-0 di Padang B, Akademi Mokhtar Dahari, Gambang.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, Felda United nyaris mengalami kekalahan sulung sebelum jaringan sepakan penalti pada penghujung permainan membolehkan skuad kendalian Ahmad Shahrul Azhar Sofian itu mengikat Johor Darul Ta'zim IV 1-1 di Stadium Mini UTM, Skudai.

 Felda United kini mengumpul 23 mata, hanya satu mata berkelebihan dengan SSMP B-16 di tangga kedua selepas skuad muda kendalian P Somasundram itu bangkit pada babak kedua untuk menewaskan Terengganu 2-1 di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak.

 Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 pula kekal di tangga ketiga selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka di Padang D, MSN Bukit Jalil untuk kini mengumpul 19 mata.

 Namun dua lagi perlawanan terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang lain ekoran hujan lebat dan petir iaitu MISC-MIFA bertemu ATM di Padang A, UKM, Bangi dan Kuala Lumpur bertemu Kelantan di Stadium Mini UPM, Serdang.

 Perlawanan ke-10 iaitu perlawanan pertama pusingan kedua akan berlangsung pada Ahad, 1 Mei 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

SSMP (B-17) 2

Muhammad Fikhri Zulkiflee 62'

Muhammad Zhafir Mohd Yusoff 89'

SARAWAK 0

 

KEDAH 2

Muhammad Fakhrul Aiman Md Nor 19'

Mohammad Alif Romli 78'

PERAK 3

Khairul Shafiq Mustaffa 4'

Mohamad Arshad Mazlan 35'

Muhammad Khairul Amizan Suhaimi 66'

 

PULAU PINANG 6

Muhamad Danial Arifin 23' 58'

Mohammad Khairul Akmal Rokisham 32'

Mohamad Afif Azman 45'

Muhammad Nabil Ramlee 60'

Muhamad Aliff Syaamil Mohamad Suhaimi 89'

PERLIS 0

 

SABAH 1

Mohd Aidil Safee 47'

PAHANG 0

 

SELANGOR 3

Muhammad Irfan Bakhtiar

D Kugan

Muhammad Fazrul Fahriz Zeky

NEGERI SEMBILAN 0

 

KUMPULAN B

 

SSBJ (B-17) 1

Muhammad Zahril Azri Zabri 18'

MELAKA 0

 

JOHOR DARUL TA'ZIM IV 1

Mohamad Khairullah Abdul Halim 47'

FELDA UNITED 1

Saifuddin Khairil Anuar (p) 90'

 

TERENGGANU 1

Amirul Syazwan Nor Azmi 13'

SSMP (B-16) 2

Arif Shaqirin Suhaimi 64'

Arham Khussyairi Abd Wahab 79'

 

MISC-MIFA lwn ATM (ditangguh)

 

KUALA LUMPUR lwn KELANTAN (ditangguh)