PIALA FAM 2017: UKM FC, SIME DARBY FC MARA KE FINAL, TEMPAH SLOT KE LIGA PREMIER 2018

2017-10-09

Juara Kumpulan A dan B, UKM FC dan Sime Darby FC berjaya mencatat kemenangan tipis pada aksi separuh akhir kedua, petang semalam untuk melangkah ke pentas final Piala FAM 2017, sekali gus kedua-dua pasukan layak automatik ke Liga Premier 2018.

 Di Stadium Mini UKM, Bangi, UKM FC kendalian Sulaiman Hussin memerlukan jaringan masa tambahan Faidzol Fazreen pada minit ke-111 untuk kemenangan tipis 1-0 ke atas Shahzan Muda FC bimbingan Tajuddin Nor.

 Permainan terpaksa berlanjutan ke masa tambahan selepas masa penuh 90 minit masih terikat 0-0 untuk akhirnya UKM FC berjaya ke final menerusi agregat 1-0 selepas aksi separuh akhir pertama di Temerloh pada Isnin lalu (2 Oktober) berakhir seri 0-0.

 Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, tuan rumah Sime Darby FC yang dibimbing Ahmad Yusoff berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Felcra FC kendalian Rosle Md Derus hasil jaringan tunggal Zul Fahmi Awang pada minit ke-41 untuk menang agregat 1-0 selepas aksi separuh akhir pertama di UM Arena berakhir seri 0-0.

 Musim lalu, UKM FC gagal ke peringkat kalah mati selepas sekadar menamatkan saingan Kumpulan B di tangga kelima sementara juara 2010, Sime Darby FC jatuh ke Piala FAM musim ini selepas menduduki tangga tercorot Liga Premier 2016.

 Final pertama akan berlangsung pada Ahad ini, 15 Oktober dengan UKM FC melayan kunjungan Sime Darby FC di laman sendiri sebelum final kedua dijadual berlangsung pada Ahad, 22 Oktober di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

KREDIT FOTO: Facebook UKM FC

 

KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR 2

AHAD, 8 OKTOBER 2017

 

UKM FC 1

Faidzol Fazreen 111'

SHAHZAN MUDA FC 0

* UKM FC menang agregat 1-0 selepas masa tambahan

 

SIME DARBY FC 1

Zul Fahmi Awang 41'

FELCRA FC 0

* Sime Darby FC menang agregat 1-0