PIALA FAM: FELCRA FC KEMBALI TERAJUI CARTA

2016-04-25

Felcra FC berjaya bangkit daripada kekalahan kepada MISC-MIFA, Rabu lepas untuk menumpaskan Persatuan Bolasepak Ipoh 2-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam dan sekali gus kembali menerajui carta Kumpulan A saingan Piala FAM.

Bekas penyerang kebangsaan, Shahrizal Mohd Saad meletakkan skuad kendalian Yusri Che Lah itu di hadapan pada minit ke-21 sebelum pemain perancang, Mohd Faiz Mohd Nasir menjaringkan gol kedua pada minit ke-54 untuk membolehkan Felcra FC kembali ke puncak dengan mengumpul 21 mata.

Di Stadium Mini USIM, Nilai, Sungai Ara FC berjaya menundukkan Penjara FC 1-0 untuk terus kekal di tangga ketiga dengan 15 mata. Bek tengah, Syahrul Syazwan Zahar muncul wira pasukan bimbingan Azhar Abdul Rahman selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-23.

Pada satu lagi aksi Kumpulan A, Shahzan Muda FC menewaskan pasukan tuan rumah, DYS FC 2-1 di Kompleks Sukan Tawau, Sabah untuk melonjak ke tangga kelima dengan 11 mata.

Pemain tengah pasukan pelawat, Mohd Rifaie Awang Long membuka tirai jaringan pada minit ke-28 sebelum pemain sayap, Muhammad Baqiuddin Shamsuddin menjaringkan gol kedua pada minit ke-48. DYS FC cuba bangkit menerusi jaringan penyerang, Justin Samaan pada minit ke-52 namun gagal menembusi benteng skuad kendalian Tajuddin Nor untuk kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.

Sementara itu, skuad Airasia Allstars FC bimbingan bekas pembantu jurulatih Selangor, P. Maniam terpaksa akur berkongsi mata dengan Megah Murni FC di Stadium Mini UPM, Serdang setelah terikat 0-0 pada aksi yang berlangsung Sabtu lepas.

KEPUTUSAN PENUH

 

AIRASIA ALLSTARS FC 0

MEGAH MURNI FC 0

 

FELCRA FC 2

Shahrizal Mohd Saad 21’

Mohd Faiz Mohd Nasir 54’

PERSATUAN BOLASEPAK IPOH 0

 

DYS FC 1

Justin Samaan 52’

SHAHZAN MUDA FC 2

Mohd Rifaie Awang Long 28’

Muhammad Baqiuddin Shamsuddin 48’

 

PENJARA FC 0

SUNGAI ARA FC 1

Syahrul Syazwan Zahar 23’