PIALA PRESIDEN: KELANTAN TERUS UNGGUL, T-TEAM KEMBALI PINTAS PERAK

2016-05-17

Juara bertahan, Kelantan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tercorot, ATM pada perlawanan ke-13 saingan Piala Presiden 2016, petang semalam untuk terus kekal di tangga teratas Kumpulan A.

 Sementara bagi saingan Kumpulan B, Perak tewas 3-1 kepada PDRM untuk merelakan tangga teratas kini dirampas semula oleh T-Team yang mudah menundukkan Pulau Pinang 4-1.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kelantan kendalian Hashim Mustapha berjaya meraih kemenangan kesepuluh musim ini menerusi jaringan tunggal Muhammad Danial Ashraf Abdullah pada awal babak kedua aksi yang berlangsung di Stadium Mindef, Kuala Lumpur untuk mereka kini mengumpul 32 mata di tangga teratas.

 Terengganu yang dibimbing Roshadi Wahab terus mengekori rapat di tangga kedua dengan 29 mata selepas berjaya menewaskan Kedah 3-0 di Stadium Mini UUM, Sintok manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) III kekal di tangga ketiga dengan 27 mata selepas menang tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

 Dua lagi perlawanan menyaksikan UiTM FC seri 0-0 dengan Felda United di Stadium UiTM, Shah Alam manakala Sarawak berjaya mengatasi Perlis 2-0 di Stadium UniMAP, Pauh.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, T-Team kendalian Mohd Nafuzi Zain kembali merampas tangga teratas selepas berjaya meraih tiga mata penuh menewaskan Pulau Pinang 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk kini mengumpul 27 mata.

 Perak yang dibimbing Sayuddin Mohd Isa terpaksa berputih mata untuk turun ke tangga kedua dengan 25 mata selepas tewas 3-1 kepada PDRM di Padang Pulapol, Kuala Lumpur, sekali gus menyaksikan PDRM naik tiga anak tangga ke kedudukan ketiga dengan 18 mata.

 Pahang yang kini kurang dua perlawanan terpaksa turun ke tangga keempat dengan 17 mata selepas pertembungan dengan Selangor yang sepatutnya berlangsung di Padang A, Muadzam Shah telah pun dipinda ke 15 Ogos.

 Dua baki perlawanan yang berlangsung petang semalam menyaksikan Kuala Lumpur menewaskan pasukan tercorot, Sabah 2-0 di Stadium UKM, Bangi manakala PKNS FC naik satu anak tangga selepas menundukkan Melaka 2-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

 Perlawanan ke-14 akan berlangsung pada Khamis ini, 19 Mei 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

ATM 0

KELANTAN 1

Muhammad Danial Ashraf Abdullah 52'

 

KEDAH 0

TERENGGANU 3

Muhamad Aliff Fitri Jefri 32'

Muhamad Azrean Abd Aziz 72'

 

NEGERI SEMBILAN 0

JOHOR DARUL TA'ZIM III 1

Shahwan Shaharudin 18'

 

UITM FC 0

FELDA UNITED 0

 

PERLIS 0

SARAWAK 2

Jimmy Raymond 25'

Nor Azizi Ramlee 74'

 

KUMPULAN B

 

T-TEAM 4

Mohd Zarulizwan Mazlan 64'

Muhamad Akram Asidi 68'

Muhamad Raimi Shair Muhamad 90+1'

Saiful Nizam Abdullah 90+3'

PULAU PINANG 1

Mohamad Ramzee Othman 89'

 

MELAKA 0

PKNS FC 2

G Kalaiselvaan 21'

R Thivagar 41'

 

KUALA LUMPUR 2

Muhammad Shahwal Fitri Mat Rodzi 10'

Muhammad Nurikhwan Mohamad Ismail 51'

SABAH 0

 

PDRM 3

Muhammad Farhan Ab Hamid 16'

Muhamad Afzal Nazri 56'

Mohamad Syafiq Redzuan Mohd Pauzee 68'

PERAK 1

E Paranitharan 75'

 

PAHANG lwn SELANGOR

(Dipinda ke 15 Ogos 2016)