SAINGAN PIALA FAM 2017 BUKA TIRAI, AHAD INI

2017-02-13

Saingan liga divisyen tiga kebangsaan, Piala FAM 2017 bakal membuka tirai saingannya, Ahad ini (19 Februari) dengan menyaksikan empat perlawanan Kumpulan A dan empat perlawanan Kumpulan B akan berlangsung membabitkan 16 pasukan bertanding musim ini.

 Bagi saingan Kumpulan A, pertembungan menarik pastinya perlawanan antara pasukan yang mara ke separuh akhir musim lalu, Felcra FC bertemu pasukan yang kandas di suku akhir musim lalu, Kelab Bolasepak Kementerian Kewangan (MOF FC) di Stadium Arena UM, Kuala Lumpur.

 Felcra FC yang masih dibimbing Yusri Che Lah menampilkan antaranya bekas pemain kebangsaan, Fadzli Saari, Fazliata Taib, Firdaus Azizul dan kapten skuad B-22 negara, Adib Zainudin manakala MOF FC yang kini dikendalikan oleh S Balachandran membariskan dua pemain berpengalaman, Rudie Ramli dan Reeshafiq Alwi.

 Satu lagi pasukan yang layak ke suku akhir musim lalu, Kelab Bola Sepak Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM FC) kendalian Andrew Majanggim akan bertandang ke Stadium Mini UKM, Bangi untuk berdepan pasukan yang menduduki tangga kelima Kumpulan B musim lalu, UKM FC bimbingan Sulaiman Hussin.

 Hanelang FC yang dibimbing Abdul Rahim Ahmad pula akan menanti kunjungan MPKB-BRI UBES FC kendalian Kamaruddin Muhammad di Padang Astaka Kuala Berang.

 Sementara Shahzan Muda FC kendalian Tajuddin Nor yang menampilkan dua bekas pemain skuad Liga Super Pahang, Shahrizan Salleh dan Rizua Shafiqi Kamaruzaman akan berdepan pendatang baharu, Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KSDBKL) yang dibimbing bekas jurulatih Kuala Lumpur, Tang Siew Seng.

 Bagi saingan Kumpulan B pula, pasukan pilihan, Petaling Jaya Rangers FC (PJ Rangers FC) kendalian jurulatih berpengalaman, Mohd Zan Mat Aris bakal berdepan pasukan yang mara ke suku akhir musim lalu, Sungai Ara FC bimbingan Abd Rahim Hassan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

 PJ Rangers FC yang merupakan nama baharu bagi AirAsia Allstars FC yang kandas di separuh akhir musim lalu bakal mempertaruhkan beberapa pemain berpengalaman musim ini antaranya Zamri Hassan, See Kok Luen, Tuah Iskandar Jamaluddin, Fahrul Razi Kamaruddin dan bekas penjaga gol Sarawak, Fadzley Abdul Rahim.

 Juara 2010, Sime Darby FC yang kembali turun ke Piala FAM selepas menduduki tangga tercorot Liga Premier musim lalu pula akan membuka kempen musim ini bertemu pasukan tangga keenam Kumpulan A musim lalu, Penjara FC kendalian Hasnan Ahmad di Stadium Mini Kompleks Penjara Kajang.

 Sime Darby FC yang mendapat sentuhan bekas jurulatih Pahang dan Terengganu, Ahmad Yusoff mempertaruhkan beberapa pemain berpengalaman antaranya Juzaili Samion, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad dan Azmirul Azmi.

 Kelab dari Melaka, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC kendalian G Torayraju yang mara ke suku akhir musim lalu bakal berhadapan pasukan baharu, Terengganu City FC bimbingan bekas jurulatih skuad Piala Presiden Terengganu musim lalu, Roshadi Wahab di Stadium Hang Tuah, Melaka.

 SAMB FC menampilkan bekas penyerang Melaka dan PKNS FC, Yusri Abas manakala Terengganu City FC mempertaruhkan bekas penjaga gol kebangsaan dan Terengganu, Syamsuri Mustafa, Zairo Anuar Zalani dan Haris Safwan Kamal.

 Sementara satu lagi pasukan baharu, Kuching FA kendalian Mohammad Mantali akan menanti kunjungan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) FC yang dibimbing Zulakbal Abdul Karim di Stadium Negeri, Kuching.

 PBMS FC yang menggunakan nama PBMM musim lalu menampilkan beberapa pemain berpengalaman musim ini antaranya bekas penjaga gol Sime Darby FC, Redzuan Harun, Fazli Baharudin, Zaiza Zainal Abidin, Hasmarul Fadzir Hassan, Yusaini Hafiz Chee Saad dan Solihin Kanasian.

 Saingan peringkat kumpulan bagi Piala FAM 2017 bakal berlangsung selama 14 minggu bermula Ahad ini sehingga 23 Julai depan.

 Selepas itu, empat pasukan teratas setiap kumpulan akan meneruskan cabaran bagi saingan kalah mati suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir.

 Dua pasukan yang berjaya mara ke perlawanan akhir akan layak automatik ke saingan Liga Premier 2018.

 

JADUAL HARI PERLAWANAN 1

AHAD, 19 FEBRUARI 2017

 

KUMPULAN A

 

SHAHZAN MUDA FC lwn KSDBKL

Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, 8.45 mlm

 

HANELANG FC lwn MPKB-BRI UBES FC

Padang Astaka Kuala Berang, 4.45 ptg

 

UKM FC lwn KDMM FC

Stadium Mini UKM, Bangi, 4.45 ptg

 

FELCRA FC lwn MOF FC

Stadium Arena UM, Kuala Lumpur, 8.45 mlm

 

KUMPULAN B

 

KUCHING FA lwn PBMS FC

Stadium Negeri, Kuching, 8.15 mlm

 

SAMB FC lwn TERENGGANU CITY FC

Stadium Hang Tuah, Melaka, 8.45 mlm

 

PJ RANGERS FC lwn SUNGAI ARA FC

Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 4.45 ptg

 

PENJARA FC lwn SIME DARBY FC

Stadium Mini Kompleks Penjara Kajang, 4.45 ptg