SIARAN MEDIA: FAM TERIMA PENAJAAN RM6 JUTA DARIPADA CUSTOMCRAFT

2018-07-28

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menerima penajaan berjumlah RM6 juta daripada CustomCraft (M) Sdn Bhd untuk tempoh tiga tahun dari 2018 hingga 2021 iaitu sebanyak RM2 juta setahun.

Majlis menandatangani perjanjian penajaan itu telah berlangsung di Hotel Hatten Melaka sejurus selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Kelima Bagi Penggal 2017-2021.

CustomCraft merupakan syarikat kejuruteraan yang mengetuai asas teras perniagaan dengan menyediakan fasiliti, peralatan, permesinan, pengilangan semula dan servis pengubahsuaian terbaharu kepada industri petroleum dan minyak sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif CustomCraft, Dato' Yeong King Hui berkata, pihaknya memiliki keyakinan tinggi terhadap kewibawaan Presiden FAM yang baharu, Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin untuk meneruskan legasi dilakukan Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

"Kami di CustomCraft percaya bahawa Dato' Hamidin akan mampu meneruskan legasi Tunku Ismail dalam mencorak dan membina semula bola sepak Malaysia untuk ke landasan yang tepat dan kembali dapat mengharumkan nama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

"Justeru, CustomCraft tidak mahu terlepas peluang untuk terlibat sama dalam menghulurkan penajaan kepada FAM yang mana CustomCraft cukup teruja bagi membantu FAM dalam usaha mencapai visi dan misi mereka dengan sumbangan yang kecil ini," kata Dato' Yeong King Hui.

Sementara itu, Dato' Haji Hamidin mengucapkan terima kasih di atas kesudian CustomCraft untuk muncul penaja baharu FAM yang pertama selepas dua minggu beliau sah dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu menggantikan Tunku Ismail pada Kongres Ke-54 FAM, 14 Julai lalu.

"Sumbangan penajaan sebanyak RM6 juta daripada CustomCraft ini cukup kami hargai kerana ia mampu memastikan beberapa program yang telah kita rancang dapat dilaksanakan dengan suntikan kewangan tambahan ini.

"Saya mewakili FAM cukup berterima kasih di atas keyakinan tinggi yang diletakkan CustomCraft di bahu saya untuk memartabatkan kembali bola sepak Malaysia biarpun baru dua minggu saya menduduki kerusi Presiden FAM ini," kata Dato' Haji Hamidin.