SIARAN MEDIA: PENJELASAN FAM BERHUBUNG DAKWAAN CHRIS EATON BAHAWA MALAYSIA MENJADI HAB MENGATUR PERLAWANAN DI ASIA TENGGARA

2016-11-08

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini ingin memberi penjelasan mengenai laporan berita yang memetik kenyataan bekas Ketua Keselamatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton mendakwa Malaysia kini telah mengambil alih tempat Singapura sebagai hab mengatur perlawanan (match-fixing) di Asia Tenggara.

 Menyentuh perkara ini, pihak persatuan sentiasa memandang isu ini dengan serius dan mempunyai persefahaman dengan FIFA dan juga Kondeferasi Bolasepak Asia (AFC) dalam bersama-sama menangani masalah ini.

 Ingin dijelaskan juga bahawa persatuan sentiasa berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa dengan telah menyalurkan maklumat yang ‘credible‘ (boleh dipercayai) untuk siasatan mereka.

 Persatuan melalui pegawai integritinya bersama-sama dengan barisan jawatankuasa integriti di setiap persatuan negeri sentiasa mengambil serius segala maklumat yang diterima sama ada dari sumber tertentu atau pun dari FIFA dan juga AFC.

 Persatuan turut sudah mewujudkan Jawatankuasa Integriti bagi tujuan memantau perjalanan Liga Malaysia (Liga-M) serta membuat dasar-dasar tertentu bagi memperkukuhkan integriti bola sepak di negara ini. Selain itu, persatuan turut cuba membenteras gejala mengatur perlawanan ini menerusi kaedah EWS FIFA.

 Dalam isu dakwaan terbaharu daripada Eaton ini, adalah lebih profesional bagi beliau untuk mengemukakan bukti dan maklumat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi dilakukan siasatan lanjut dalam usaha membanteras  kegiatan ini demi kebaikan bola sepak negara.

 Berdasarkan rekod, pada tahun 2012, Eaton turut pernah mengeluarkan kenyataan kononnya ada pegawai tinggi dari persatuan ini yang terlibat dengan aktiviti mengatur perlawanan.

 Susulan itu, satu perjumpaan telah diadakan pada 5 Mac 2012 antara beliau dengan Setiusaha Agung FAM ketika itu, Dato’ Sri Azzuddin Ahmad.

 Ketika itu juga, beliau telah diminta untuk mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataannya itu tetapi gagal berbuat demikian.

 Justeru berhubung dakwaan terbaharunya kali ini, pihak persatuan setakat ini tidak menerima apa-apa maklumat berhubung perkara berkenaan, sama ada dari FIFA mahu pun AFC atau sumber-sumber tempatan.

 

DATO’ HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

SELASA, 8 NOVEMBER 2016