SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN AKHIR KEDUA PIALA PRESIDEN 2016, T-TEAM LWN KELANTAN

2016-10-24

Menjelang Perlawanan Akhir Kedua Piala Presiden 2016 antara T-Team dan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Selasa, 25 Oktober 2016, satu sidang media praperlawanan telah berlangsung di Pejabat Pengurusan T-Team di Kuala Terengganu, petang tadi.

 Sidang media berkenaan telah dihadiri ketua jurulatih T-Team, Nafuzi Zain dan ketua pasukan, Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri serta ketua jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha dan ketua pasukan yang juga penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

 Pada Perlawanan Akhir Pertama yang telah berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Selasa lalu (18 Oktober), juara bertahan Kelantan selaku pasukan tuan rumah telah diikat T-Team 1-1 selepas gol pendahuluan menerusi sepakan percuma Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-55 berjaya disamakan T-Team hasil tandukan Engku Nur Shakir Engku Yacob minit ke-64.

 Dengan T-Team pula akan bertindak sebagai tuan rumah bagi Perlawanan Akhir Kedua di Kuala Terengganu, malam esok, tiket RM5 dikenakan kepada para penonton.

 Berikut komen Nafuzi dan Hashim pada sidang media, petang tadi:

 

KOMEN KETUA JURULATIH T-TEAM, NAFUZI ZAIN

"Walaupun berjaya mengikat Kelantan 1-1 di Kota Bharu, fokus kita adalah untuk menang pada malam esok kerana untuk mengharungi baki tempoh 90 minit merupakan satu tempoh masa yang panjang.

 "Jadi keutamaan kita malam esok adalah untuk tidak dibolosi lawan dan pada masa sama kita cuba untuk menjaringkan gol bagi menjamin kemenangan.

 "Beberapa pemain utama seperti Zarulizwan Mazlan, Akram Asidi dan Zulhusni Azizan masih cedera. Jadi dalam perancangan saya untuk menurunkan Safawi Rasid (pemain kebangsaan yang beraksi bersama skuad Liga Super T-Team) pada malam esok.

 "Khidmat Safawi diperlukan di barisan jentera depan yang saya lihat sebagai masalah utama kita berbanding bahagian tengah dan pertahanan yang setakat ini nampak baik.

 "Bagi saya, misi utama kita malam esok adalah untuk meraih kemenangan bagi memastikan kejuaraan pertama buat T-Team pada saingan Piala Presiden ini dan khasnya buat negeri Terengganu bagi mengubati kekecewaan dua pasukan senior (Terengganu dan T-Team) musim ini."

 

KOMEN KETUA JURULATIH KELANTAN, HASHIM MUSTAPHA

"Persiapan kita untuk perlawanan kedua ini seperti biasa dan kalau boleh kita mahu habiskan pertarungan dalam tempoh 90 minit.

 "Tiada strategi tertentu yang dirancang, cuma alhamdulillah kemungkinan besar kita akan dapat kembali menggunakan khidmat kapten kita, Faris Shah Rosli yang sudah sembilan perlawanan tidak bersama kami (kerana tidak mendapat pelepasan pengurusan skuad Liga Super Kelantan).

 "Bagaimanapun dua pemain tidak dapat diturunkan kerana penggantungan akibat kad kuning diterima pada perlawanan pertama iaitu pemain pertahanan kanan, Aiman Shakir Hashim dan pemain pertahanan tengah, Syafiq Shapie.

 "Tapi ia bukanlah masalah besar kerana ketiadaan dua pemain itu boleh ditampung dengan kehadiran semula Faris Shah di bahagian pertahanan.

 "Misi utama kami adalah untuk wajib menang dan jika seri sekali pun kita perlu seri 2-2 atau 3-3. Jika seri 1-1, kena kerah tenaga lagi untuk mengharungi masa tambahan 30 minit."