SSBJ B-17 PERSIAP PASUKAN HADAPI DUA KEJOHANAN

2016-01-27

Pasukan bola sepak Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Bawah 17 Tahun (B-17) meletakkan dua kejohanan sekolah-sekolah sukan di Korea Selatan dan Thailand sebagai agenda utama mereka untuk tahun 2016 ini.

 Pemangku ketua jurulatih SSBJ B-17, Mohamad Haris Lajid berkata, seramai 28 pemain terdiri daripada pelajar Tingkatan 5 di sekolah berkenaan telah mula menjalani latihan sejak pertengahan Disember lalu.

 "Kami ada 28 pemain tetapi hanya 26 pemain yang boleh beraksi ketika ini kerana dua pemain sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan. Berkemungkinan pada Februari atau Mac baru mereka boleh beraksi.

 "Persediaan awal kami ketika ini adalah untuk menghadapi saingan Piala Belia 2016 yang akan bermula pada 28 Februari ini. Di kalangan 28 pemain yang ada ini, lima adalah pemain baharu.

 "Mengikut kalendar 2016, kami akan menghadapi dua kejohanan besar tahun ini iaitu kejohanan sekolah-sekolah sukan Asia di Korea Selatan sama ada April atau September dan kejohanan sekolah-sekolah sukan Thailand di Chonburi pada Ogos.

 "Jadi aksi di Piala Belia 2016 ini adalah sebagai persiapan menghadapi dua kejohanan berkenaan," kata Haris kepada www.fam.org.my.

 Ditanya mengenai sasaran skuad SSBJ B-17 untuk saingan Piala Belia 2016 membariskan 20 pasukan yang bakal dibahagi kepada dua kumpulan untuk perlawanan secara liga timbal balik, Haris berkata, mereka akan berusaha merebut empat teratas kumpulan untuk mara ke peringkat kalah mati suku akhir.

 "Kami sudah bertemu skuad Piala Belia Selangor dan Kuala Lumpur pada aksi persahabatan awal bulan ini dan berjaya mencatat kemenangan.

 "Sabtu ini, kami akan bertemu pula skuad Piala Belia Felda United dan minggu depan bertemu skuad Piala Presiden Felda United.

 "Jadi menerusi perlawanan-perlawanan persahabatan ini, kami akan dapat melihat sejauh mana tahap permainan pasukan kami untuk mampu bersaing dalam Piala Belia musim ini.

 "Biarpun kami dibarisi pemain-pemain berusia 17 tahun dan akan menentang pemain pasukan lain yang berusia 19 tahun dalam saingan Piala Belia, saya yakin kami mampu layak ke peringkat kalah mati," jelas Haris, 53, yang dibantu penolong jurulatih, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah.

 

SENARAI PEMAIN SSBJ B-17

1 MOHAMAD KHUZAIRIL BIN MOHD IZRAM
2 NOOR AZMIERUL HAKIMI BIN MOHD NOOR
3 MOHD IZZAT BIN AZIZ
4 MOHAMAD ZIKRY ASWIRA BIN AZIAN
5 MUHAMMAD ANWAR BIN IBRAHIM
6 ZULFAKAR KHAIRUDDIN BIN ZAMZURI
7 NIK AKIF SYAHIRAN BIN NIK MAT
8 AMMAR AKHMALL BIN ALIAS
9 MUHAMMAD SYAIFUL BIN ALIAS
10 MUHAMMAD ZAHRIL AZRI BIN ZABRI
11 AHMAD TASNIM BIN MOHD NASIR
12 AWANG MUHAMMAD FAIZ HAZIQQ BIN AWANG FATHI
13 MOHD IZWAN ISKANDAR BIN GAZALI
14 NABIL HAKIM BIN BOKHARI
15 MUHAMMAD AL IMRAN BIN ABDUL HALIM
16 MUHAMAD NAZIRUL HASIF BIN MALLANG
17 MOHAMMAD SYAFIQ BIN SHAMSUDIN
18 MOHAMAD SUHAIL BIN MD SUFIAN
19 MUHAMMAD ZAFUAN BIN AZEMAN
20 MUHAMMAD NURFAIS BIN JOHARI
21 MUHAMMAD FAIZ BIN AMINUDDIN
22 MUHAMMAD AIMAN ARIF BIN ZULKARNAIN
23 MUHAMMAD AZRI AZIZI BIN ABDULLAH
24 MOHAMAD ARIEFFAHMIE BIN MOHD AZAM
25 MUHAMMAD AL AIMAN BIN MOHD ZAINI
26 MUZAMIR BIN ZAID
27 ASMAIE BIN ALIAS
28 MUHAMMAD AZHAR BIN APANDI