AHLI JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM, DATO’ GOH AH CHAI MENINGGAL DUNIA

2016-02-19

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Goh Ah Chai telah meninggal dunia, petang semalam (Khamis) kerana penyakit barah usus yang dihidapinya sejak pertengahan tahun lalu.

 Ah Chai, 69, juga merupakan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA).

 Mendiang yang lahir pada 20 Oktober 1946 telah dipilih menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2014-2018 ketika Kongres FAM Ke-50 pada 25 Mei 2014 dan seterusnya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM bagi penggal berkenaan.

 Terdahulu, sepanjang berkecimpung dalam bola sepak tempatan sejak awal tahun 1980-an, mendiang pernah menganggotai Jawatankuasa Kewangan FAM (1982-1984), Jawatankuasa Pintu dan Tiket FAM (1995-2001) serta Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (2001-2010).

 Selain itu, mendiang turut pernah menjadi penolong pengurus skuad kebangsaan dari tahun 1981 hingga 1985.

 Di peringkat Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pula, mendiang pernah menjadi bendahari dari tahun 1975 hingga 2000 dan setiausaha agung dari tahun 2000 hingga 2007.

 Mendiang meninggalkan seorang balu, Datin Loke Swee Yee, dua anak lelaki, Goh Kah Leong dan Goh Kah Poh serta seorang anak perempuan, Goh Kah Bick.

 Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di Pusat Memorial Nirvana Sungai Besi bermula jam 7 malam ini hingga esok (Sabtu). Upacara persemadian pula pada Ahad di Krematorium Nirvana Shah Alam.