AMINUDDIN HUSSIN DILANTIK PENOLONG JURULATIH SKUAD PROJEK SUKAN SEA 2017

2016-02-12 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan secara rasmi pelantikan bekas pengendali skuad Harimau Muda C, Aminuddin Hussin sebagai penolong jurulatih skuad Projek Sukan SEA 2017.

Keputusan itu dicapai sejurus selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan FAM di MSN, Bukit Jalil, pagi tadi.

Aminuddin yang bakal genap berusia 50 tahun pada 7 Julai ini bakal disertai bekas jurulatih penjaga gol Harimau Muda B tahun lalu, Megat Amir Faisal Al Khalidi Ibrahim selaku jurulatih penjaga gol dalam barisan kejurulatihan Bernhardt.

 "Pertama sekali, saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan FAM dan juga Bernhardt kerana telah memberi peluang kepada saya menjadi penolong jurulatih skuad Projek Sukan SEA 2017. Ïa adalah satu cabaran besar buat diri saya.

“Saya pernah bertugas sebagai ketua jurulatih skuad B-19 negara (Harimau Muda C) pada tahun 2013 di mana saya amat mengenali kebolehan majoriti daripada pemain-pemain dari kelompok usia bawah 22 tahun yang ada ketika ini dan saya sudah mendapat gambaran bagaimana untuk memantapkan lagi pasukan kita,” kata Aminuddin kepada www.fam.org.my, hari ini.

Aminuddin yang juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pembangunan Belia FAM dari tahun 2007 hingga 2009 itu telah mengetepikan tiga calon lain yang turut diuji Bernhardt sewaktu sesi pemilihan pada bulan lepas, iaitu P. Maniam, Reduan Abdullah dan Azlan Johar manakala seorang lagi calon, Hassan Sazali Mohd Waras telah pun dilantik sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu Bernhardt dan mencapai objektif kita untuk mencapai sasaran memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017 kelak,” jelas Aminuddin.