BERNHARDT CARI PEMAIN BAHARU PERKUAT SKUAD PROJEK SUKAN SEA 2017

2016-05-07

Pengendali skuad Projek Sukan SEA 2017, Frank Bernhardt berharap latihan pusat ketiga yang bermula hari ini (7 Mei) mampu mencungkil bakat-bakat baharu untuk memperkuatkan pasukannya menjelang kejohanan bolasepak empat penjuru, Nations Cup 2016 yang disertai tiga pasukan bawah 21 tahun (B-21); Singapura, Vietnam dan Thailand di Melaka bulan depan.

“Hari ini adalah sesi latihan pertama. Jadi, saya masih belum dapat lihat kelebihan yang dimiliki setiap pemain yang hadir. Saya masih mencari beberapa pemain untuk diserapkan dalam pasukan dan pemilihan pemain yang dilakukan bukan hanya tertumpu kepada aksi dalam Liga Super tapi saya mahu lihat secara keseluruhan.

“Ini panggilan ketiga dan saya berharap dapat menemui pemain-pemain baharu yang boleh menguatkan lagi pasukan,” kata Bernhardt kepada www.fam.org.my di Wisma FAM, petang tadi.

Kesemua 25 pemain yang dipanggil telah hadir melapor diri pada hari pertama sesi latihan pusat ketiga skuad Projek Sukan SEA 2017 antaranya - S Thipanraj (Kuala Lumpur) dan dua pemain T-Team, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle dan Muhammad Mohd Faudzi.

Skuad kendalian jurulatih dari Jerman itu bakal membuka tirai kejohanan Nations Cup 2016 dengan menentang Singapura B-21 pada 3 Jun di Stadium Hang Jebat, Melaka.