DARREN LOK ANTARA 13 PEMAIN HADIR KE KEM LATIHAN PUSAT SKUAD HARIMAU MALAYSIA

2016-09-27

Penyerang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Darren Lok muncul antara 13 pemain yang hadir melapor diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi sebagai persiapan menghadapi dua perlawanan antarabangsa “A” bertemu Singapura, 7 Oktober ini dan Afghanistan pada 11 Oktober.

 Selain Darren, tiga lagi muka baharu yang dipanggil Kim Swee untuk skuad kebangsaan kali ini iaitu Fazrul Hazli Mohd Kadri (Perak), Hadin Azman (Felda United) dan Ahmad Khuzaimi Piee (Melaka) turut sudah melapor diri.

 Sembilan pemain lain yang hadir ialah Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim & Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Irfan Fazail & Zaquan Adha Abd Radzak (JDT II), Ahmad Fakri Saarani (Felda United), Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ronny Harun (Sarawak) dan Matthew Davies (Pahang).

 Sementara baki 13 lagi pemain dari JDT, Kedah, Selangor, PDRM dan T-Team termasuk dua lagi muka baharu - Rizal Ghazali dan Syazwan Zainon dari Kedah akan melapor diri pada Ahad ini selepas mereka selesai tugasan bersama kelab bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFC 2016 dan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2016.

 Bagi Darren, 26, yang baru saja lulus permohonannya bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia pada minggu lalu, peluang disenaraikan sebagai pemain ke-26 dalam senarai pemain bagi kem latihan pusat kali ini akan digunakan sepenuhnya bagi menambat hati Kim Swee.

 "Apa yang boleh saya katakan, saya cukup gembira apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan ini.

 "Sudah tentu saya agak terkejut apabila nama saya dipanggil semalam (kelmarin) selepas baru beraksi selama 45 minit bersama JDT pada Jumaat lalu.

 "Saya akan hargai peluang yang diberikan ini dan tempoh dua minggu latihan akan saya gunakan sepenuhnya untuk cuba memberikan terbaik yang saya ada," kata Darren ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, petang tadi.

 Pemain kelahiran England itu yang bapanya berasal dari Melaka turut berasa lega apabila kehadirannya ke kem latihan pusat skuad kebangsaan kali ini 'ditemani' dua rakan sepasukannya dari JDT II, Irfan dan Zaquan.

 "Tidaklah berasa keseorangan apabila pertama kali ke kem latihan pusat ini kerana saya sudah biasa bermain bersama Irfan dan Zaquan di JDT II. Jadi sesuatu yang melegakan apabila melihat mereka ada bersama di sini," jelas Darren.

 Darren yang sebelum ini beraksi bersama kelab Eastbourne Borough di England telah didaftarkan sebagai pemain JDT II ketika pintu perpindahan kedua pada Julai lalu tetapi hanya dapat diturunkan selepas mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia pada minggu lalu.

 Darren masuk sebagai pemain gantian sebaik separuh masa kedua aksi Liga Premier 2016 bertemu Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Jumaat lalu bermula dengan menggantikan Akram Mahinan.

 Sementara itu, Kim Swee ketika ditanya mengapa Darren biarpun hanya baru beraksi selama 45 minit, tersenarai sebagai pemain ke-26 selepas senarai awal 25 pemain diumumnya minggu lalu, berkata perkembangan pemain berkenaan sebenarnya telah dipantau sejak lima bulan lalu.

 "Seperti yang semua tahu, Darren sebenarnya sudah berlatih bersama JDT II sejak empat atau lima bulan lalu, cuma dia tidak dapat beraksi kerana menunggu permohonan kewarganegaraannya diluluskan.

 "Kami di pihak kejurulatihan skuad kebangsaan sudah mengikuti perkembangannya sejak dari tempoh itu dan saya turut menghantar penolong jurulatih, Bradley Maloney ke Pasir Gudang, Jumaat lalu.

 "Darren beraksi selama 45 minit dan saya rasa ia sudah mencukupi untuk kami menganalisis betapa bagusnya dia dan jika saya tidak memanggilnya kali ini, saya tiada lagi peluang untuk menilai aksinya," jelas Kim Swee. - FAM